web statsweb stats

Berita Terkini

16 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Aura Bahasa Melayu Dr Malar Dan Mekyun

Apabila melihat kekaguman ramai terhadap kaum bukan Melayu fasih berbahasa Melayu, timbul persoalan, mengapa ia menjadi sesuatu yang pelik apabila bangsa lain petah berbahasa kebangsaan?

Budaya Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Aug 2021 9:10AM

Gambar: Facebook Celoteh Dr Malar dan Instagram @mekyunn

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Suka betul dengar segmen celoteh Dr Malar, penggunaan bahasa yang sedap didengar, menurut Ummi Nadiah dalam ruangan komen Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bukan beliau sahaja, malah ramai lagi yang mengikuti Program Ambang Merdeka, Celoteh Dr Malar secara langsung di media sosial DBP itu turut memuji kepetahan doktor perubatan kelahiran Kuantan, Pahang tersebut berbahasa Melayu.

Apa tidaknya, tiap butir perkataan yang keluar daripada pemilik nama penuh, Malar Santhi Santherasegapan tersusun cantik dengan penggunaan bahasa yang standard.

Kefasihannya itu menjadikan doktor perubatan yang bertugas di hospital swasta di Lembah Klang ini sering menarik perhatian pelayar media sosial khususnya di platform TikTok tatkala beliau berkongsi tips kesihatan terutamanya mengenai virus COVID-19 dan vaksinasi.

Sementara itu, tidak kurang juga perhatian yang diterima seorang anak muda berbangsa Cina yang mesra dipanggil Mekyun dalam kalangan pengikut media sosial Instagram dan TikToknya apabila sering memuat naik video dalam dialek Kelantan dan Bahasa Melayu.

Berjaya mengumpul lebih 100 ribu pengikut, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 24, tidak ketinggalan berkongsi tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan sehingga ada menggelarnya sebagai ikon bagi menggalakkan lebih ramai rakan bangsa lain untuk turut sama menggunakan bahasa kebangsaan itu.

Namun, apabila melihat kekaguman ramai terhadap kaum bukan Melayu fasih berbahasa Melayu, timbul persoalan, mengapa ia menjadi sesuatu yang pelik apabila bangsa lain petah berbahasa kebangsaan?

Walhal, bukankah bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi itu sepatutnya fasih diucapi dan dilazimi dalam kalangan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa apapun?

Keadaan ini berlaku kerana Bahasa Melayu belum begitu diterima oleh rakyat bukan Melayu di negara ini sekali gus menyebabkan ramai yang tidak fasih dan gagal menguasainya dengan baik, menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

“Sangat menyedihkan, setelah 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu hanya menjadi instrumen untuk lulus peperiksaan sahaja bagi mencukupi syarat mendapatkan sijil.

“Kebanyakan mereka ini  belajar Bahasa Melayu kerana terpaksa, bukan sebab mereka bangga untuk menuturkannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tegas Teo, apabila seseorang itu  tidak merasa bangga menggunakan bahasa kebangsaan, ini bermakna tiada kecintaan dan kesetiaan yang ditonjolkan dalam diri mereka untuk berusaha fasih bahasa tersebut dengan bergaul dalam komuniti pengguna Bahasa Melayu sebagaimana mereka berbangga mempelajari Bahasa Inggeris untuk masuk ke dalam komuniti yang menuturkan bahasa tersebut.

Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh Dr Yahya Osman berkata pujian dan galakan harus diberikan kepada kedua-dua personaliti  Dr Malar dan Mekyun untuk diangkat sebagai ikon kepada masyarakat India dan Cina dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

“Pada zaman teknologi yang semakin berkembang ini, terdapat beberapa individu daripada bangsa lain seperti Dr Malar yang rajin berkongsi cerita berkenaan COVID-19, Mekyun dan beberapa lagi pemuda berbangsa Cina yang memuat naik video menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan baik.

“Kita harus memuji usaha-usaha baik ini dan menggalakkan lebih ramai lagi individu yang bukan asalnya penutur jati Melayu seperti ini supaya Bahasa Melayu dapat dimartabatkan sebaiknya termasuklah di platform media sosial,” katanya.

Yahya berkata inisiatif warganet ketika ini dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu bukan sekadar penyampaian maklumat sahaja malah sebagai medium untuk berkomunikasi dengan setiap masyarakat berbilang bangsa dalam merapatkan hubungan antara satu sama lain. 

Jelasnya, penggunaan Bahasa Melayu dalam pergaulan harian masyarakat termasuklah di alam maya amat penting kerana itu dapat membantu untuk menguasainya dengan lebih baik sekali gus menjadi contoh terbaik buat anak mereka.

"Pergaulan amat penting dalam mempengaruhi penggunaan Bahasa Melayu. Contohnya, anak-anak atau pelajar Malaysia yang belajar mahupun tinggal di luar negara, penggunaan Bahasa Inggeris mereka lancar kerana pengaruh persekitaran dan pergaulan harian.

“Daripada situ mereka dapat mengenal loghat serta cara sebutan yang betul dan begitu jugalah dengan Bahasa Melayu apabila ia sentiasa digunakan, pasti ramai yang akan fasih," katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 4 bulan yang lalu

Arab Saudi Lancar 15 Garis Panduan Haji Dalam 16 Bahasa Termasuk Bahasa Melayu

2

Rencana 4 bulan yang lalu

Pencabulan Bahasa Dalam Iklan Jadi Norma Yang Sukar Dibetulkan

3

Semasa 9 bulan yang lalu

Penguasaan Bahasa Melayu Kekal Syarat Asas Permohonan Taraf Kewarganegaraan - KDN

4

Budaya 11 bulan yang lalu

DBP Tarik Diri Daripada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara