Artis jalanan terkenal Banksy melancarkan karya seni baharunya di Ukraine yang distensil di sisi bangunan yang rosak akibat terkena tembakan.
Menurut United Press International (UPI), karya itu yang disiarkan di akaun Instagram Banksy, memaparkan pandangan sisi figura manusia yang berdiri menggunakan tangan (handstand) di atas timbunan runtuhan dengan rambut diikat ke belakang menjadi sanggul pada stensil hitam putih dengan tandatangannya.
Banksy tidak jelaskan banyak kapsyen untuk karya seni baharu itu, namun melabelkan lokasinya di bandar Borodyanka -- terletak kira-kira 35 batu barat laut Kyiv. Ia adalah antara bandar pertama yang menyaksikan serangan udara Rusia selepas Presiden Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan itu pada Februari.
Penyiaran itu seolah-olah mengesahkan laporan bahawa artis itu -- yang lukisannya telah dijual dengan harga berpuluh-puluh juta dolar -- berada di Ukraine selepas mural lain yang kelihatan dibuat mengikut gayanya dikesan muncul di seluruh negara yang dilanda perang itu.
UPI juga melaporkan bahawa dalam karya seni lain, yang masih belum dituntut oleh Banksy, seorang budak lelaki boleh dilihat membalikkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Putin dalam perlawanan judo.
Banksy yang kekal tanpa dikenali walaupun sudah berkarya hampir dua dekad, terkenal kerana hasil seni dengan mesej sosiopolitik. - Bernama