NEW YORK - Akhbar Washington Post, New York Times serta agensi berita AP memenangi Hadiah Pulitzer pada Isnin berdasarkan laporan mereka mengenai sekatan hak pengguguran di Amerika Syarikat (AS) dan krisis Ukraine, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Caroline Kitchener dari the Post menerima anugerah kewartawanan atas laporannya mengenai seorang wanita yang melahirkan anak kembar kerana sekatan ke atas hak pengguguran di Amerika Syarikat.
The New York Times memenangi kategori laporan antarabangsa "untuk liputan beraninya mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, termasuk penyiasatan selama lapan bulan mengenai kematian rakyat Ukraine di bandar Butcha".
AP turut menjadi pilihan juri menerusi laporan dan foto di bandar Mariupol, Ukraine - selepas organisasi berita lain meninggalkan tempat kejadian.
AP memenangi Foto Terbaik World Press Photo tahun ini, yang berjaya memotret seorang wanita hamil yang mengalami kecederaan sedang dipindahkan dari hospital bersalin di Mariupol.
Wanita itu dan bayinya yang masih dalam kandungan meninggal dunia akibat serangan itu.
Hadiah Pulitzer ke-107 diumumkan oleh ketua pentadbir Marjorie Miller.
Sebanyak 15 daripada 23 kategori Hadiah Pulitzer dikhaskan untuk karya kewartawanan, meliputi penyiasatan sehingga kepada kartun.
Anugerah ini juga meliputi bidang sastera serta muzik dan teater.
Pemenang dipilih oleh barisan juri yang berpangkalan di Universiti Columbia New York.
Menerusi kategori novel pula, 'Demon Copperhead' hasil karya Barbara Kingsolver dan 'Trust' Hernan Diaz dinobatkan sebagai juara.
Dalam seni muzik, Hadiah Pulitzer dimenangi Rhiannon Giddens dan Michael Abels untuk opera mereka 'Omar'.
Sementara itu, LA Times memenangi kategori Berita Terkini membabitkan penyiasatan terhadap perkauman dalam kalangan ahli politik tempatan di Los Angeles. - Bernama - dpa