Sebanyak 11 kategori bakal dipertandingkan di acara malam kemuncak Anugerah Drama Sangat 2021 (ADS2021) yang buat julung kalinya dianjurkan TV3 dan bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 18 Disember ini, jam 9 malam.
Menerusi 11 kategori yang dipertandingkan itu, dua kategori utama berdasarkan undian 100% penonton iaitu Drama Popular dan Drama Terbaik, manakala Drama Popular pula 100% undian juri.
Kesemua kategori yang dipertandingkan itu terdiri daripada Drama Terbaik (undian juri 100%), Drama Popular (undian dalam talian 100%), Pengarah Terbaik (juri 100%), Penulis Skrip Terbaik (juri 100%), Pelakon Lelaki Terbaik (juri 60% dan dalam talian 40%) serta Pelakon Wanita Terbaik (juri 60% dan dalam talian 40%).
Kategori lain termasuklah Pelakon Antagonis Terbaik (juri 60% dan dalam talian 40%), Pasangan Drama Terbaik (dalam talian 100%), OST Terbaik (dalam talian 100%), Drama Adaptasi Novel Terbaik (dalam talian 100%) dan Babak Tular Drama Terbaik (dalam talian 100%).
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, ADS 2021 diadakan bagi menghargai warga produksi yang telah bertungkus-lumus menghasilkan kandungan kreatif drama buat penonton setia drama tempatan.
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada semua kaki drama untuk menunjukkan kesetiaan mereka terhadap artis serta pengkarya seni yang berjaya menambat hati mereka menerusi drama-drama yang dipertandingkan,” katanya,
ADS 2021 yang ditaja Foodpanda akan disiarkan secara strim langsung di tonton dan YouTube TV3 serentak dengan penganjuran malam kemuncak. Acara ini akan dihoskan oleh Nabila Huda dan Ain Edruce.
Manakala, penyampai anugerah terdiri daripada Azhan Rani, Izzue Islam, Nabila Razali, Redza Rosli, Sharifah Rose, Erra Fazira, Aaron Aziz, Zul Ariffin, Fify Azmi, Ogy Ahmad Daud, Jalil Hamid, Hisham Hamid dan Scha Elinnea.
Bagi segmen persembahan pula, ADS 2021 akan dijayakan penyanyi hebat Dato’ Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Misha Omar, Khai Bahar, Cassia, Cat Farish, Ariff Bahran, Sarah Suhairi, Stacy, Ismail Izzani, MK dan Noki
Dramaa yang tercalon dalam ADS 2021 disiarkan di TV3 sejak Januari 2020 hingga Jun 2021. Penjurian dilakukan secara hibrid iaitu menggunakan penjurian juri profesional dan undian dalam talian oleh penonton. Bagi kategori undian dalam talian, ia telah berlangsung pada 1 Oktober dan berakhir 20 November lalu.
Antara drama hebat yang tersenarai dalam Anugerah Drama Sangat 2021 adalah '7 Hari Mencintaiku 2' terbitan SR One Sdn Bhd, 'Melastik Ke Hatimu' (OrangeTree Production Sdn Bhd), 'Takdir Yang Tertulis' (Radius One Sdn Bhd), 'Budak Tebing' (Country d& Universal Sdn Bhd) dan 'Sabarlah Duhai Hati' (Suhan Movies dan Trading Sdn Bhd).
Turut tersenarai adalah drama 'Tak Sempurna Mencintaimu' (Zeel Production Sdn Bhd), 'Bidadari Salju' (Primeworks Studios dan A. Aida Production Sdn Bhd), 'Kampung People 2' (KL Motion Pictures Company Sdn Bhd), 'Pink Smile' (Creative Skill Solution Sdn Bhd) dan 'Hati Yang Tersakiti' (Art Ornament Sdn Bhd).
Untuk menghangatkan lagi suasana ADS2021, YouTube TV3 Malaysia turut menyiarkan empat episod babak-babak viral yang menjadi sebutan netizen menerusi lakonan semula (parodi).
Antara drama yang terlibat dalam 'Parodi Drama Dalam Drama' ini adalah 'Kampung People 2', 'Takdir Yang Tertulis', '7 Hari Mencintaiku 2' dan 'Adellea Sofea'.
ADS2021 turut ada lagu dan video muzik berjudul 'Drama Sangat' yang diilhamkan Shazee Ishak dan dinyanyikan Stacy, Ismail Izzani serta Noki. Muzik video ini boleh dilayari di YouTube TV3 Malaysia.
Menjelang malam kemuncak ADS 2021, TV3 selaku penganjur turut mewujudkan ‘IG Live’ Ada Apa Belakang Skrin bersama penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon-pelakon tempatan.
Barisan pengkarya itu terdiri daripada Fadzil Teh yang ke udara pada 8 Disember lalu, jam 9 malam, Wan Hasliza(9 Disember, 8.30 malam), Shahrulezad Mohameddin dan Nad Zainal (11 Disember, 9 malam), Jamal Khan (13 Disember, 8.30 malam), Feroz Kader dan Jalena Rejab (14 Disember, 8.30 malam).
Tidak ketinggalan ikuti perkongsian sutradara Shuhaimi Lua malam ini (15 Disember, 8.30 malam) serta Pali Yahya dan Amyra Rosli (16 Disember, 8.30 malam).
Maklumat terkini berkaitan ADS2021 boleh diperolehi dengan melayari Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 serta Instagram rasmi Drama Sangat.
Layari laman sesawang xtra dan gunakan #AnugerahDramaSangat serta #LagiDramaLagiRasa untuk menghangatkan perbualan di laman media sosial! - Getaran, 15 Disember 2021