web statsweb stats

Berita Terkini

16 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Ulasan: Eyka Farhana - Jaa Suzuran, Serasi Dalam 'Autumn In Wales'

Biarpun 'Autumn In Wales' adalah sebuah filem komedi romantik yang tipikal, namun, ia masih boleh ditonton dan memberikan rasa ‘feel good’ kepada penonton. 

Filem & TV Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Mar 2022 5:46PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sudah banyak kali kita dihidangkan dengan filem komedi romantik ringan mengenai kisah percintaan yang tidak kesampaian akibat kecurangan si pasangan lelaki dan si pasangan perempuan pula berusaha mempertahankan hubungan itu tanpa menyedari bahawa ada lelaki lain yang sebenarnya terbaik dan sanggup bersusah payah untuk dirinya. 

Template filem komedi romantik yang tipikal seperti ini juga turut digunapakai dalam filem Autumn In Wales yang dijayakan barisan pelakon tempatan seperti seperti Eyka Farhana, Jaa Suzuran, Keith Foo, Wanna Ali, Joey Daud, Amyza Adnan, Sissy Iman, Fara Mendoza, Wanns Ahmad dan Amirul Haswendy. 

Bahkan, elemen-elemen yang terdapat perjalanan cerita kebanyakan filem komedi romantik, turut diterapkan sebagai sebahagian daripada perjalanan cerita ini Autumn In Wales arahan Rahila Ali yang diterbitkan Pencil Pictures And Record Sdn Bhd.

 Misalnya seperti, si perempuan sanggup terbang ke luar negara untuk mencari tunangnya apabila  tunangannya itu  tiba-tiba sahaja mendiamkan diri dan apabila dia berada di sana, dia  bertemu pula dengan seorang jejaka lain yang sanggup membantu menjejaki tunangnya itu. 

Sebagai sebuah filem komedi romantik yang tipikal, sudah tentu kita dapat mengagak apa yang akan berlaku dari awal hingga akhir perjalanan ceritanya. Ia tidak punya elemen kejutan atau plot twist yang mencabar serta tidak dijangka. 

Namun, kelebihan filem ini ialah ia mengetengahkan keindahan North Wales, United Kingdom sebagai sebahagian daripada latar belakang filemnya. Secara tidak langsung, ia turut menjadi nilai tambahan kepada filem yang sesuai ditonton remaja ini.

Sinematografinya yang menarik turut menggerakkan hati kita sebagai penonton untuk menjadikan North Wales sebagai destinasi pelancongan seterusnya. 

Sayangnya, ia tidak menggunakan sepenuhnya lanskap epik North Wales di dalam filem ini. Namun, kita faham, hal itu pasti ada kaitannya dengan kekangan bajet.

Autumn In Wales mengisahkan tentang Aira (Eyka Farhana) seorang gadis manja yang sedang menanti detik hari bahagia bersama tunang, Darwish. Menjelang hari perkahwinan mereka, Aira telah pergi ke Wales untuk membuat kejutan buat Darwish (Keith Foo) 

Ketika di Wales, satu insiden berlaku pada Aira dan Jaka a.k.a Jejaka Kacak (Jaa Suzuran) dari pantai timur yang ingin memulakan hidup baru di Wales selepas berpisah dengan kekasih yang akhirnya diketahui dua alam.

Menggunakan pempengaruh media sosial terkenal, Jaa Suzuran yang memiliki 1.4 juta pengikut di Instagram sebagai seorang pelakon utama filem ini pastinya adalah suatu strategi yang cuba digunakan penerbitnya, Datuk Normashayu Puteh (Ayu Puteh) untuk menarik penonton menyaksikan filem ini. 

Namun, apa yang tidak diduga, anak muda dari Kelantan ini ternyata mampu menzahirkan wataknya sebagai Jaka dengan begitu baik dan berkesan sekali. 

Gandingannya bersama Eyka Farhana juga tampak begitu serasi dan ada momen-momen dalam babak mereka berdua yang nampak begitu spontan dan bersahaja. 

Biarpun ini adalah lakonan komedi romantik pertama Eyka Farhana yang selama ini sering membawakan watak serius, namun dia juga cemerlang dengan lakonannya. Watak sebegini sebenarnya sangat sesuai dengan usianya.

Cuma gandingannya dengan Keith Foo sebagai tunangannya agak kelihatan janggal dan tidak begitu serasi kerana perbezaan usia dan bentuk fizikal mereka yang begitu ketara. Keserasian Keith Foo sebenarnya lebih terserlah bersama Wana Ali. 

Biarpun skrip ditulis Amirul Haswendy yang juga bekas wartawan hiburan di Harian Metro ini banyak mencedok idea daripada filem-filem lain, namun ia masih lagi boleh  diklasifikan sebagai filem yang ‘feel good’ dan ‘enjoy’ untuk ditonton. 

Falsafah yang terkandung di dalam filem ini juga jelas bahawa adakalanya yang terbaik untuk kita itu tidak semestinya sempurna dan adakalanya kita tidak sedar yang terbaik untuk kita itu ada di hadapan kita pada waktu susah dan senang.

Sekali lagi, memang ia kedengaran klise tapi falsafah ini memang sentiasa dipegang dalam kebanyakan filem komedi romantik seperti ini dan tidak terkecuali Autumn In Wales

Dari sudut garapan Rahila Ali sebagai pengarah pula, ia tidak seratus-peratus sempurna, namun pada waktu yang sama, ia tidak mempunyai lompong-lompong ketara yang mencacatkan keseluruhan filem ini jika ia dilihat dari aspek mata kasar seorang penonton biasa.  

Malah, genre komedi romantik ini sebenarnya forte yang sangat sesuai untuk dibawakan Rahila sebagai seorang pengarah. 

Autumn In Wales yang mula ditayangkan di Astro First sejak 24 Mac 2022 turut menggunakan suara Wana Ali sebagai penyanyi menerusi lagu tema, 'Pandu Lalu'. Genre lagu ini bukan tidak sesuai tetapi ia tidak begitu kena dengan bentuk genre filem ini. - Getaran, 25 Mac 2022

Rating: 3 Getar 

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 2 minggu yang lalu

Goat Meledak Di Pawagam, Catat Lebih RM10 Juta Sejak Khamis

2

Selebriti 3 bulan yang lalu

‘I've Found My Happiness’ - Riena Diana, Keith Foo Akui Hangat Bercinta

3

Filem & TV 5 bulan yang lalu

Reviu Filem: 'Sheriff' Filem Syafiq Yusof Paling Berani, Papar Sisi Gelap PDRM

4

Filem & TV 5 bulan yang lalu

'Sheriff' Karya Paling Jujur, Janjikan Kelainan Sisi Polis

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara