Semalam telah berlangsung konsert minggu kedua Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) dan ia menyaksikan Roy Kapilla menjadi peserta pertama yang disingkarkan.
Pada minggu kedua, kesemua 13 peserta diberikan tugasan bertemakan Malar Segar Mekar Membara di mana mereka perlu menyanyikan lagu-lagu lama yang kembali viral ataupun lagu-lagu dari alumni Gegar Vaganza.
Roy yang membuat persembahan menerusi lagu 'Izinkan Selamanya Namamu Di Hati' dendangan asal EYE dilihat gagal menyampaikan lagu berkenaan dengan baik sehingga menyebabkan dia meraih markah tercorot iaitu sebanyak 53.20 peratus.
Menurut ketua juri iaitu Datuk Ramli MS, nyanyian Roy pada malam itu tidak seiring dengan muzik.
“Apa yang kami nilaikan adalah nyanyiannya. Muzik mengiringi dia, dia sepatutnya seiring. Dua elemen ini tidak menyokong satu sama lain. Tetapi saya tak salahkan dia. Sebab dia sudah lama menyanyi dengan cara nyanyian dia,” katanya sewaktu ditemui di sesi sidang media.
Bagi Roy pula, dia mengakui sebenarnya sudah tahu dan nampak bagaimana perjalanannya di dalam GV9 sejak dari awal.
“Sebenarnya selepas membuat persembahan tadi, saya sudah tahu ke mana saya akan pergi. Apa yang diberitahu Datuk Ramli adalah benar. Banyak yang tak okey dalam nyanyian saya,” katanya.
Ditanya adakah penyingkirannya itu boleh diibaratkan sebagai melepaskan satu beban yang berat, Roy tidak menafikan perkara itu, apa lagi melihatkan faktor usianya yang paling tua dalam kalangan semua peserta.
“Tetapi saya rasa cukup bertuah dapat berada di atas pentas GV yang sangat besar dan hebat ini,” katanya yang sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang seni.
Pada malam itu juga, kedudukan peserta dilihat banyak yang berubah dari minggu pertama. Tomok muncul sebagai juara di minggu kedua dengan markah sebanyak 80 peratus. Hazrul Nizam membuat kejutan apabila melonjak kedudukan dari tempat tercorot ke tempat kedua dengan markah sebanyak 79.80 peratus.
Shila Amzah pula berjaya mengekalkan momentum untuk meraih kedudukan tiga teratas apabila menduduki tempat ketiga dengan pungutan markah sebanyak 78.90 peratus. Tempat keempat pula diraih kumpulan VE dengan markah sebanyak 74.50 peratus, manakala tempat kelima pula menjadi milik Jaclyn Victor dengan markah sebanyak 74.40 peratus.
Pat Candy yang membuat persembahan sambil diiringi petikan gitar suaminya iaitu Edrie Hashim berada di tempat keenam dengan markah 69.30 peratus, diikuti Bob Yusof di tempat ketujuh (64.50 peratus), Dina Nadzir di tempat kelapan (61.40 peratus), Asheed di tempat kesembilan (60.60 peratus), Tom di tempat ke-10 (59.90 peratus), Fuad Rahman di tempat ke-11 (57.90 peratus) dan Haida Hasnan di tempat ke 12 (57.80 peratus).
Konsert minggu ketiga nanti bakal menyaksikan kesemua 12 peserta yang masih kekal akan menyampaikan lagu-lagu yang dipilih oleh netizen dari pelbagai genre seperti rock, dangdut dan irama pop tradisional. – Getaran, 26 September 2022