Konsert Big Stage 2023 minggu keenam menyaksikan juri tetap sekali lagi menggunakan Imuniti X untuk menyelamatkan peserta yang tersingkir.
Kali ini juri telah memilih untuk menyelamatkan kumpulan Dem Lepak Boyz yang telah diumumkan tersingkir. Juri juga sebulat suara memilih peserta dari Singapura iaitu Farhan Shah untuk disingkiran.
Selain Dem Lepak Boyz dan Farhan Shah, seorang lagi peserta iaitu Firdaus Rahmat turut berada di kedudukan tiga terbawah.
Pada konsert minggu keenam itu, Dem Lepak Boyz telah menyampaikan lagu Apa Khabar daripada Joe Flizzow dan Sonaone manakala Farhan Shah pula menyampaikan lagu ‘Fighter’ daripada Christina Aguilera
Menurut salah seorang juri tetap iaitu Ajai, dia berkata pihak juri merasakan belum tiba masanya untuk Dem Lepak Boyz meninggalkan pentas Big Stage kerana kumpulan itu telah menunjukkan peningkatan.
“Apa yang saya cari setelah minggu keenam ini adalah ‘rasa’ dalam nyanyian. Mereka perlu faham tentang lirik dan irama.
“Kebanyakan peserta yang masih tinggal ini, mereka berjaya memberikan rasa itu kecuali yang tersingkir.
“Tidak bermaksud juri selamatkan Dem Lepak Boyz kerana mereka adalah peserta kegemaran juri. Mereka terselamat kerana mereka ada kemajuan dalam persembahan,” katanya.
Sementara itu seorang lagi juri tetap iaitu Aina Abdul memberitahu, juri sepakat memilih untuk menyingkirkan Farhan Shah kerana graf persembahannya semakin menurun dari minggu ke minggu.
“Pada minggu kedua dia ada peningkatan sedikit menerusi lagu Mercy. Tetapi selepas itu dia macam hilang arah. Mungkin kerana dia berpegang pada satu gaya sahaja. Dia kelihatan seperti telah memberikan sepenuhnya, tetapi rasa itu tidak boleh menipu,” ujarnya.
Ditanya adakah nada lagu perempuan tidak sesuai dengan suara Farhan, lantaran seringkali dilihat menyanyikan lagu dari penyanyi wanita, jelas Ajai, perkara itu boleh terjadi terutamanya apabila peserta tidak mampu mencapai nada tinggi penyanyi perempuan.
“Nada Christina Aguilera kita tahu memang tinggi. Farhan mungkin patut menyanyikan lagu Britney Spears kerana nada dia lebih rendah. Maksud saya kita perlu faham, nada suara kita boleh pergi sampai tahap mana,” jelasnya.
Sementara itu Farhan Shah berkata, dia sudah dapat menduga akan tersingkir apabila Aina Abdul memberikannya markah yang rendah pada konsert minggu kelima.
“Sebenarnya, minggu lepas saya keliru. Kenapa saya dapat markah paling rendah daripada Aina. Mungkin ada ‘flat’ dan ‘sharp’ dalam nyanyian saya. Tetapi saya rasa saya tidak sepatutnya mendapat markah sebanyak 39. Dari situ saya sudah dapat rasa minggu hadapan pasti saya akan tersingkir.
“Tetapi saya rasa telah buat yang terbaik untuk minggu ini. Saya betul-betul puas hati. I left the competition with a bang! “, katanya.
Ditanya adakah dia kecewa apabila juri memilihnya untuk disingkirkan demi menyelamatkan Dem Lepak Boyz, kata Farhan dia sebenarnya gembira apabila mengetahui bahawa ada orang yang menyokongnya menerusi undian penonton.
“Saya tak sangka ada orang yang menyokong saya dalam pertandingan ini. Walaupun saya telah berada di kedudukan tiga terbawah sebanyak tiga kali. Saya tak sangka Dem Lepak Boyz akan tersingkir, saya ingatkan saya yang akan terkeluar.
“Seperti yang saya katakan tadi, sejak minggu lalu saya dapat rasakan mungkin Aina tak suka saya. Mungkin dari sudut vokal ataupun persembahan.
“Saya pun belum dapat penjelasan daripada Aina kenapa saya dapat markah terendah. Bila juri ingin beri Imuniti X, memang saya sudah duga mereka akan memilih saya untuk disingkirkan. Saya terima keputusan ini,” luahnya.
Kongsi Farhan lagi, sebagai peserta dari Singapura, dia akui terasa lelah saat berjuang dalam pertandingan ini kerana tidak mempunyai pasukan di belakangnya seperti peserta-peserta lain.
“Saya lakukan semuanya sendiri. Saya tiada pihak pengurusan yang membantu. Susunan muzik saya buat sendiri, konsep persembahan, konten media sosial, semuanya saya buat sendiri. Sebenarnya saya tak cukup tidur,” kongsinya.
Dilihat sering menyanyikan lagu daripada penyanyi wanita setiap minggu, kata Farhan dia punya alasan tersendiri kenapa memilih lagu-lagu tersebut.
“Itu adalah strategi saya dalam pertandingan ini. Kalau ikut ‘range’ suara, Putera Muhammad punya ‘range’ yang lebih besar. Dari segi persembahan pula, kumpulan Coex lebih menyerlah.
“Jadi saya susun strategi apa yang harus saya lakukan dalam persembahan saya dengan memilih lagu-lagu wanita yang disusun semula dan disampaikan dalam gaya yang lebih maskulin. Tak kisahlah menyanyi lagu wanita atau lelaki, yang penting kita sampaikan seperti lagu sendiri,” ujarnya.
Berikut adalah kedudukan peserta mengikut markah yang diberikan oleh dua juri tetapi dan juri jemputan iaitu Datuk Seri Rossa:
Waode (95.67 peratus), Putera Muhammad (95 peratus), Nadeera Zaini (93.33 peratus), HoonDoo (87.67 peratus), Puteri Khareeza (82.67 peratus), Coex (82.33 peratus), Aufahanie (71.67 peratus), Dem Lepak Boyz (70.67 peratus), Farhan Shah (64 peratus) dan Firdaus Rahmat (61.33 peratus). – Getaran, 12 Jun 2023