Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan pelawak legenda, Senario yang dianggotai oleh Wahid, Azlee, Lan Pet Pet, Saiful Apek dan Yassin. Kumpulan ini turut pernah dianggotai oleh pelawak Ilya atau Pak Ya, dan juga Hamdan.
Sitkom, lagu-lagu dan filem-filem mereka pernah mewarnai kehidupan kanak-kanak yang membesar pada tahun 90-an.
Sepanjang pembabitan mereka dalam dunia seni sejak pada tahun 1996 lagi, terdapat lebih 10 buah filem telah mereka hasilkan, antaranya Senario The Movie, Senario Lagi, Lagi Lagi Senario, Senario Pemburu Emas Yamashita dan macam-macam lagi.
Kini sebagai, pembuka tirai tahun 2023, Awesome TV mengembalikan nostalgia peminat terhadap kumpulan ‘Senario’ yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi program sketsa terbaharu ‘Kampung Senariuh’.
Program n tersebut bakal menghiasi slot ‘Sitcom’ pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pada jam 9.00 malam bermula 1 Januari 2023.
Program ‘Kampung Senariuh’ 15 episod di bawah arahan sutradara terkenal, Bob Ismail Hasim ini diterajui empat ahli kumpulan Senario iaitu Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yassin dan turut dibintangi Mamak selaku pelakon pembantu.
Selain itu, program ini juga diserikan dengan kehadiran barisan artis jemputan yang terdiri daripada Mia Nasir, Afifa Nasir, Zalif Sidek, Marisa Yasmin, Ammar Titan, Kazar, Chiwan, Bard Kerdil serta turut menampilkan barisan bintang ‘Awesome Raja Lawak’ seperti Kumpulan Soda, Kumpulan Manja, Azhar, Amin, Oky dan Afea sebagai penampilan khas.
Siitkom ‘Kampung Senariuh’ berkisarkan tentang empat orang sahabat baik iaitu Pak Azlee, Wahid Deghian, Apek dan Yassin Rambo dari Kampung Sena.
Mereka cukup dikenali dalam kalangan penduduk kampung dengan ragam dan gelagat mereka yang mencuit hati ketika melepak di warung dan sering berborak mengenai isu-isu semasa terutamanya kejadian yang berlaku di kampung mereka.
Watak Pak Azlee merupakan seorang pemilik warung kedai kopi yang menjadi port utama untuk melepak oleh penduduk Kampung Sena.
Watak Wahid Deghian pula merupakan seorang pengusaha sebuah dusun durian di Kampung Pokok Senariuh. Manakala watak Apek pula merupakan seorang pemilik studio jamming di kampung tersebut. Watak Yassin Rambo pula merupakan seorang pemilik sebuah bengkel motor.
Bagi para peminat ‘Kampung Sinariuh’, jangan lupa layari kemunculan semula pelawak legenda Senario dalam program berbentuk sitcom setelah lebih sedekad bakal menggamit nostalgia dunia komedi tanah air, setiap Sabtu dan Ahad bermula tahun hadapan. - Getaran, 26 Disember 2022