Buletin gaya kali ini dipenuhi dengan berita kolaborasi personaliti tempatan bersama jenama-jenama fesyen, antaranya Alvin Chong, Yaya Zahir dan Steven Sunny.
Dalam khabar lain, seorang anak jati Ipoh telah menghasilkan set penjagaan diri lelaki lestari dan Ogawa Malaysia membuka kedai pintar pertama di Mid Valley Megamall.
Alvin Chong Dilantik Sebagai Rakan Jenama Longines
Sesuai dengan slogan 'Elegance is an Attitude', Longines melantik selebriti terkenal, Alvin Chong sebagai rakan jenama Longines secara rasmi untuk pasaran Malaysia.
Dalam kempen pertamanya bersama Longines ini, Alvin memakai The Longines Master Collection dan The Longines Diver Watch, masing-masing menampilkan rekaan lebih lasak namun masih tampak anggun dan berkarakter moden.
Alvin mula meninggalkan impak sebagai pelakon dalam drama popular, 'Suri Hari Mr. Pilot' yang telah menempa namanya dalam dunia hiburan tempatan.
Sebagai penyanyi pula, Alvin yang fasih dalam banyak bahasa sudahpun merakam lagu dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.
Berkat bakat dan latar budayanya yang menyeluruh telah menjadikannya sebagai seorang selebriti yang versatil.
Sebagai rakan jenama Longines, Alvin akan muncul dengan beberapa aset komunikasi Longines, sambil berkongsi keanggunan dan keabadian gaya Longines kepada umum.
Pemilik Barbershop Di Ipoh Hasilkan Set Penjagaan Diri Lelaki
Memenuhi keperluan lelaki moden, Debut Barber & Shop melancarkan Debut Homme.
Ia merupakan set penjagaan diri khas untuk lelaki moden, merangkumi tiga produk asas seperti pembersih badan, syampu dan deodoran. Sesuai gaya maskulin dan elegan, Debut Homme dibungkus dalam rona hitam dan putih monokrom.
Menariknya, ketiga-tiga produk mandian ini diperbuat daripada bahan semula jadi dan lestari, “Walaupun banyak produk lelaki lestari di luar sana, kami yakin masih ada ruang untuk kami tembusi di pasaran ini.
“Terutamanya kami berasal dari Ipoh yang sememangnya terkenal dengan warisan dan mempunyai tarikan keajaiban alamnya yang tersendiri,” ucap Amirul O’oi Ashraf Mokhtar, pemilik Debut Barber & Shop merangkap pengasas Debut Homme.
Layari Debut Homme untuk maklumat lanjut.
Ogawa Buka Kedai Konsep Pintar
Ogawa Malaysia melangkah masuk ke tahun baru dengan pembukaan Ogawa Concept Store di Mid Valley Megamall. Di bawah konsep ini, Ogawa menawarkan aneka pilihan teknologi dan inovasi, sesuai dengan gaya hidup moden masa kini.
Reka bentuk kedai dilengkapkan dengan gabungan teknologi pintar dan pengalaman gaya hidup mewah dengan menggunakan warna mawar keemasan dan putih sebagai warna utama. Warna kombinasi kayu ditambah untuk menghadirkan suasana harmoni dan seimbang.
“Kami mahu pelanggan kami menikmati kehidupan yang maju dan sihat seperti mereka berada di dalam keselesaan rumah mereka sendiri. Bukan sekadar kedai biasa, Ogawa Concept Store mencipta persekitaran selesa lagi futuristik,” ujar Datuk Lim Mee Ling, CEO Ogawa Malaysia.
Layari Ogawa Malaysia untuk maklumat lanjut.
Scarlet x Steven Sunny menginspirasi gaya pasca pandemik
Scarlet terus mengorak langkah menerusi Scarlet x Steven Sunny, kolaborasi bersama pereka fesyen tempatan, Steven Sunny. Koleksi ini menuju ke arah elemen yang mempunyai nilai-nilai terapeutik, sesuai dengan gaya hidup pasca pandemik.
Bertemakan #OwnWhatYouWear, kolaborasi ini menampilkan 10 pilihan koleksi akhir tahun. Scarlet x Steven Sunny mengutamakan kesejahteraan serta menyuntik mesej sayangi diri dalam menyerlahkan lagi cita rasa.
Mengulas lanjut tentang koleksi ni, “Saya percaya setiap daripada kita mampu menonjolkan keunikan diri yang tersendiri. Anda memiliki apa yang anda gayakan kerana anda merupakan edisi terhad kepada diri anda sendiri,” ucap Steven.
Selain pereka fesyen, Steven Sunny juga bergelar seorang jurusolek yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Sungguhpun dia menamatkan pengajian dalam bidang kesenian cat minyak, Steven turut memiliki kepakaran dalam bidang seni dan fesyen.
Shein x Yaya Zahir ready to take the world!
Shein berkolaborasi bersama pelakon dan pengacara, Yaya Zahir untuk Shein x Yaya Zahir.
Koleksi ini mencurahkan warna-warni, memadukan era 1920-an dengan gaya jalanan masa kini. Mencedok inspirasi daripada personaliti Yaya sendiri, Shein x Yaya Zahir membawa unsur fesyen kegembiraan dan keseronokan dengan sentuhan feminin.
“Stail saya selalu bermain dengan eksperimentasi yang luar biasa. Yang penting ia mengizinkan saya mencuba suatu perkara baharu,” ucap Yaya.
Shein x Yaya Zahir dirancang dengan warna berlawanan yang cerah dan kontras. Keceriaan warna biru dan hijau serta merah jambu, sempurna dipadankan untuk mereka yang ‘manis’ dan berani! - Getaran, 14 Disember 2021
Semua gambar: Jenama-jenama berkenaan