“Buang yang keruh, ambil yang jernih” mungkin merupakan satu perumpamaan yang tepat buat rakyat Malaysia menyambut tahun baharu 2022.
Semenjak wabak membadai dunia pada 2020, tahun 2021 sememangnya dianggap sebagai tahun ‘pemulihan’ oleh sebahagian besar daripada kita.
Tahun ini kita bersyukur dengan perkara yang paling bermakna buat diri, keluarga, rakan-rakan, kediaman dan alam sekitar.
Namun, ganjaran terbaik hadir untuk mereka yang sabar. Di dalam situasi serba tidak jelas ini, satu-satunya cara untuk mara ialah dengan memandang ke hadapan.
Kita bersama-sama mengharapkan langit yang cerah untuk tahun baharu yang lebih aman dan selamat.
Oleh itu, sempena tahun baharu 2022, mulakannya dengan menghias rumah, menyimbah dinding dengan warna-warna yang mengekpresi diri dan mencipta ruang peribadi yang hakiki. Inilah masanya untuk anda memberi sentuhan baharu pada kediaman anda.
Mulakan tahun 2022 dengan warna-warna yang sempurna!
Ruang Tamu
Ruang yang paling menjadi tumpuan dalam sesebuah kediaman adalah ruang tamu. Di ruang ini, semua orang meluangkan masa bersama.
Sama ada menonton televisyen bersama keluarga, mahupun menikmati secangkir kopi bersama teman-teman, ruang tamu adalah ruang pertama yang menetapkan mood dan suasana.
Warna merah lembut atau merah tanah membantu anda menetapkan mood tenang untuk sesi berkumpul. Penghuni dan tetamu dapat berinteraksi dengan nyaman.
Anda boleh juga memilih warna hijau yang melambangkan perkembangan dan pembaharuan. Warna hijau turut menghadirkan suasana aman dan damai.
Ruang Makan
Untuk ruang makan pula, warna redup sesuai sekali untuk digunakan. Ruang makan juga adalah ruang berinteraksi kerana di sinilah semua orang duduk sekali untuk makan bersama.
Oleh itu, ia wajar diberikan perhatian yang sewajarnya. Anda mencari warna yang akan kelihatan menawan sepanjang masa? Cuba warna-warna tanah (beige)!
Warna ini memberi sentuhan inventif dan memberi inspirasi. Latar cerah, sesuai dipadankan dengan warna ini yang tidak akan kelihatan lapuk dek zaman.
Bilik Tidur
Bilik tidur ialah ruang peribadi yang sangat penting. Di sinilah anda tidur pada waktu malam dan bangun pada awal pagi untuk memulakan hari dengan baik.
Ramai yang selalu memandang ringan tentang kepentingan bilik tidur. Apabila mengecat rumah, hanya dinding ruang tamu dan dinding luar rumah sahaja yang selalu diberikan perhatian.
Sedangkan bilik tidur memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan dan kesejahteraan mental dan diri anda.
Untuk bilik tidur, warna-warna sejuk amat digalakkan. Untuk membuatkan bilik tidur anda kelihatan segar dan luas, warna biru dan hijau lembut amat disarankan.
Warna-warna ini merupakan tona sejuk yang dapat menambah rasa selesa di dalam bilik tidur anda. - Getaran, 28 Disember 2021
Semua gambar: AkzoNobel