Malaysia diberkati dengan cuaca panas dan hujan sepanjang tahun kerana terletak di garisan khatulistiwa.
Namun, iklim panas dan lembap ini boleh menjadikan suatu aktiviti yang mudah, umpama satu senaman. Anda boleh berpeluh, panas dan tidak selasa hanya dengan berjalan.
Bagi yang berhijab, ketidakselesaan ini lebih terasa kerana rambut mereka dilitupi tudung sepanjang hari.
Apabila berpeluh, sebum bakal terkumpul di permukaan kulit kepala, seterusnya menyebabkan kerengsaan dan kegatalan serta merosakkan rambut.
Sudah tentu kita sebagai manusia tidak boleh mengawal cuaca, tetapi kita mampu menjaga rambut kita.
Berikut lima tip mudah dan berkesan bagi wanita berhijab untuk menghindari permasalahan ini serta kekal selasa berhijab dalam cuaca panas dan lembap.
#1 Tetapkan rutin syampu
Sinaran mentari boleh menyebabkan kulit kepala kita lebih berpeluh. Oleh itu, mensyampu rambut ialah langkah yang penting bagi mengatasi ketidakselesaan ini.
Kebiasaannya, golongan berhijab selalu mengalami kulit kepala yang gatal kerana mereka bertudung sepanjang hari.
Jadi, amat penting bagi mereka menggunakan produk yang mempunyai formulasi dan ramuan sesuai bagi menangani masalah ini.
Misalnya, syampu dengan ciri-ciri antipruritic berkesan melawan bakteria. Ia dapat mengurangkan kerengsaan dan kulit kepala yang gatal.
Manakala Conjugated Linoleic Acid (CLA) mampu mengimbangi tahap pH kulit kepala, seterusnya mengurangkan rembesan minyak.
#2 Jangan biarkan rambut anda panjang terlalu lama
Pastikan anda sentiasa peka dengan tahap kepanjangan rambut anda. Hakikatnya, rambut yang panjang dan tebal boleh menyebabkan pertambahan lapisan di sekeliling kepala.
Ini seterusnya meningkatkan haba yang terkumpul dan menjadikan kepala terasa lebih panas. Jika anda berhijab, situasi ini berkemungkinan boleh melemahkan akar rambut.
Bagi mereka yang berambut panjang dan diikat sepanjang hari, ikatan itu mungkin menjadi terlalu berat dan menyebabkan rambut anda tidak ‘bernafas’.
Pergilah ke salon berdekatan untuk memotong dan mengemaskan rambut bagi memastikan ia terjaga rapi dan tidak terlalu panjang.
Seterusnya dapat menghindari permasalahan rambut di kemudian hari.
#3 Gunakan hijab yang diperbuat daripada fiber tulen
Selalunya ketika membeli hijab, ramai yang melihat warna, corak dan trend terkini. Sepatutnya anda perlu peka kepada bahannya kerana ia mampu mempengaruhi kesihatan kulit kepala.
Hijab yang diperbuat daripada fiber sintetik, selalunya lebih kasar terhadap rambut anda. Jika dibiarkan, folikel rambut akan rosak kerana selalu bergesel dengan permukaan kasar itu.
Fiber sintetik juga menghalang kulit daripada ‘bernafas’, seterusnya menyebabkan pengumpulan sebum pada permukaan kulit kepala.
Hijab yang diperbuat daripada fiber semula jadi seperti kapas dan sutera dapat menjadikan kepala lebih sejuk. Ia bersifat lut udara dan menyenangkan kulit ‘bernafas’.
Ia turut membuatkan rambut terasa lebih ringan dan sihat kerana kurang peluh dan sebum. Keselesaan mampu mempengaruhi mood harian anda!
#4 Salin dan basuh anak tudung
Pastikan anda rajin membasuh dan menukar anak tudung secara rutin demi kebersihan. Jika anak tudung bersih, anda tidak perlu bimbang tentang masalah rambut berminyak dan kepam.
Anak tudung yang kotor bukan sahaja menyebabkan kulit kepala gatal, malah boleh menghasilkan bau kurang menyenangkan.
Jangan lupa untuk selalu menyalin dan menukar anak tudung anda. Ingatlah kebersihan itu adalah separuh daripada iman.
#5 Memastikan semburan rambut dalam rutin harian
Menggunakan semburan rambut (hair mist) yang diformulasikan khas untuk golongan berhijab. Ia mampu mengubah pengalaman pemakaian hijab harian anda.
Semburan rambut membuatkan rambut berbau harum, kekal lembut dan segar sepanjang hari. Lagi pula, ia selalunya mengandungi pelbagai mineral dan vitaman seperti vitaman B5.
Mereka yang mengalami masalah kulit kepala gatal boleh menggunakan semburan rambut dengan pati buah delima.
Buah delima mampu menghalang pembiakan bakteria yang menjadi punca kegatalan, pada masa sama memastikan kulit kepala kekal sihat dan harum. - Getaran, 15 Februari 202