Tarikan pelancongan yang tidak asing lagi di Shah Alam, i-City kini tampil dengan buah tangan terbaharu apabila melancarkan Immersive Winterland, pusat pengalaman imersif yang pertama di Malaysia.
Menggabungkan teknologi, hiburan dan seni secara serasi untuk pengalaman deria yang benar-benar mengasyikkan, Immersive Winterland adalah tarikan yang sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga. Berbeza daripada pusat hiburan yang sedia ada, tarikan yang mula dibuka kepada orang ramai bermula 29 November lalu ini menerokai alam dimensi ketujuh.
Berbeza dengan pengalaman 5D biasa, Immersive Winterland ini membawa pengunjung ke tahap penglibatan deria yang lebih dan kompleksiti menggunakan teknologi yang lebih canggih, di mana ia menggabungkan simulasi pergerakan yang lebih rumit untuk memberikan pengalaman yang benar- benar menyeluruh dan memukau.
Antara tarikan yang pasti digemari oleh kanak-kanak adalah Immersive Exploration Cave yang membawakan beberapa spesis dinasour dan ‘Kong’ yang digeruni. Spesis yang digeruni ini bukan hanya boleh didekati, malah ia juga bergerak dan mengeluarkan bunyi yang seakan-akan hidup. Gua ini membolehkan pengunjung untuk belajar mengenai makhluk purba yang pernah mendiami bumi.
Permainan 360° Immersive Explorer juga tidak kurang hebatnya, apabila pengunjung dapat mengalami pengalaman menaiki pesawat yang menjunam dari tebing salji ke lautan terbuka dan banyak lagi secara tujuh dimensi. Biarpun pengalamannya tidaklah sehebat tarikan Independence Day Defiance Di Genting Skyworlds, tetapi ia tetap menyeronokkan dan berbaloi dicuba.
Bagi yang suka merakam memori dan menikmati keindahan bunga-bungaan, Blossom Odyssey adalah untuk anda. Bahagian ini menyediakan penjelajahan mempesona di mana ia mempamerkan projeksi digital bunga-bungaan yang berwarna-warni yang diserikan dengan kehadiran rama-rama cantik setiap kali dinding disentuh.
Setiap tema merangsang deria dan imaginasi pengunjung dan percayalah ia menjanjikan sebuah pengalaman melampaui visual. Ia merangsang deria pengunjung dengan pelbagai suhu, sensasi taktil, dan landskap bunyi yang menarik yang dicipta oleh teknologi audio spatial yang canggih.
Lain-lain tarikan yang boleh anda cuba adalah Immersive Ski Simulator, simulasi ski imersif pertama di Malaysia yang menawarkan pengalaman ski yang seakan benar, memberikan peluang yang jarang-jarang dapat dirasai oleh penduduk tempatan, dan Immersive Snowball Simulator yang menjemput rakan-rakan dan keluarga untuk sama-sama menggulung bola salji.
Terdapat juga taman permainan yang membolehkan anak-anak kecil bermain gelongsor dan ribuan bola untuk dilambung dan dibaling ke skrin permainan gergasi. Percayalah, anak-anak pasti akan terleka di sini dan tidak mustahil anda yang tidak mahu pulang apabila sampai masanya.
Tiket-tiket masuk ini sudah boleh ditempah secara dalam talian di laman web rasmi i-City pada harga RM45 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak yang mempunyai ketinggian lebih 90 sentimeter.
Tarikan ini dibuka dari jam 3.30 petang hingga 11.00 malam pada hari bekerja dan dari 1.00 tengahari hingga 11.00 malam pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan am. - Getaran, 5 Disember 2023