IPOH - Bermula dengan hanya berkongsi kepakaran menghasilkan minuman berasaskan kopi serta latte dengan rakan-rakan, seorang pemuda bergelar usahawan apabila membuka perniagaan kedai minuman di hadapan rumahnya.
Dengan menggunakan nama Kopi Depan Rumah Ipoh, Wan Zulfadhli Intizam, 31, kini boleh berbangga apabila kedainya viral di media sosial terutamanya dalam kalangan warga Ipoh.
Menceritakan kembali bagaimana idea membuka kedai kopi di hadapan rumahnya itu tercetus, Wan Zulfadhli yang juga pereka di sebuah sekolah di sini berkata, dia tidak pernah langsung terfikir untuk membuka perniagaan memandangkan sudah mempunyai pekerjaan tetap.
Namun selepas berkongsi pembuatan minuman dihasilkannya dengan rakan-rakan, ia semakin mendapat perhatian, bahkan mula viral dalam kalangan kenalan.
“Pada mulanya, saya tidak berhajat untuk membuka kedai, namun bila melihat ia semakin mendapat perhatian, saya berbincang dengan isteri, mengapa tidak kita cuba membuka kedai di hadapan rumah.
“Rumah ini rumah emak saya dan beliau pada mulanya macam tidak percaya dengan perniagaan yang ingin saya buat ini, tetapi selepas melihat ia semakin diminati, emak saya sendiri membantu membuat dekorasi di hadapan rumah,” katanya kepada Getaran.
Wan Zulfadhli yang baru menjalankan perniagaan tersebut selama tiga bulan berkata, setakat ini dia sudah menghasilkan 11 menu minuman dan antara minuman yang paling mendapat tempat di hati pelanggan ialah Strawberry Latte serta Caramel Latte.
Menurutnya, kedai yang hanya beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad itu membolehkan dia menghasilkan pendapatan tambahan dengan jumlah jualan antara RM7,000 hingga RM9,000 sebulan.
Berkongsi cara penghasilan minuman di kedainya, Wan Zulfadhli berkata, dia yang sangat meminati minuman berasaskan kopi dan latte menggunakan campuran pelbagai jenis ‘filter’ bagi menghasilkan rasa yang terbaik.
“Saya bercadang untuk menambah lagi pelbagai menu, termasuk bercita-cita ingin membina pondok di hadapan rumah seperti gerai-gerai di Indonesia.
“Saya tidak menyangka perniagaan ini boleh viral kerana ia hanya bermula dengan suka-suka sahaja,” katanya.
Menurut Wan Zulfadhli, orang ramai yang ingin merasai kenikmatan pelbagai jenis minuman di kedainya boleh datang ke Kopi Depan Rumah Ipoh di alamat No 3, Persiaran Bukit Meru 11, Meru Heights, pada setiap hari Sabtu dan Ahad. - Getaran, 25 September 2021