Obsesi terhadap bintang pop terkenal dunia, Britney Spears dan patung Barbie mendorong Mel Muzammil untuk menjadi pengumpul tegar barangan yang berkaitan dua jenama nama ini.
Menurut jejaka berusia 32 tahun ini, minatnya terhadap Britney dan Barbie bermula sejak dia kecil lagi namun hanya selepas menginjak dewasa, barulah dia mampu untuk memiliki pelbagai koleksi istimewa berkaitan Britney dan Barbie.
“Sebagai budak lelaki, pastinya ibu dan bapa saya melarang untuk saya memiliki patung Barbie. Jadi sewaktu kecil, terpaksalah saya bermain dengan patung Ken sahaja. Tetapi saya mempunyai teman yang memiliki patung Barbie. Jadi di rumah temanlah tempat saya bermain patung Barbie.
“Pernah sekali teman hadiahkan saya patung Barbie. Kemudian kantoi dengan ibu, lalu dibuangnya patung itu. Sedih memang sedih bila dikenang waktu itu, tetapi kini saya mampu membeli patung Barbie sendiri,” katanhya.
Namun, ibu bapa Mel tidak dapat menghalang minatnya terhadap Britney Spears.
“Sejak dari kecil, saya membesar dengan lagu-lagu Britney. Masih saya ingat ketika album album Baby One More Time dirilis pada tahun 1999, saya hanya mampu beli kaset kerana cakera padat agak mahal harganya.
“Pada zaman sekolah juga saya banyak mengumpul gambar-gambar Britney serta lirik dari majalah untuk ditampal dalam buku skrap. Ketika itu hanya itu sahaja yang saya mampu lakukan,” katanya kepada Getaran.
Kongsi Mel lagi, sejak dia bekerja dan mampu membeli barang yang diminatinya, dia dapat merealisasikan semula impian zaman kanak-kanaknya untuk memiliki patung Barbie dan barangan istimewa Britney Spears.
“Untuk koleksi Britney saya punya semua albumnya, minyak wangi, kemeja T, dan yang paling saya sayang tentunya koleksi patung Britney.
“Dan jika saya kemana-mana dan terjumpa barang yang berkaitan dengan Britney, saya akan beli mengikut bajet,” katanya yang sangat meminati lagu Gimme More.
Ditanya bagaimana dia kembali mengumpul patung Barbie pula, kata Mel ceritanya bermula pada tahun 2013 dan ia berlaku secara kebetulan apabila dia ternampak patung vintaj Barbie yang menyarung baju kebaya di pasar lambak.
“Saya suka pergi ke pasar lambak. Satu hari saya pergi pasar lambak di Amcorp Mall Petaling Jaya dan lalu di satu gerai seorang mak cik yang menjual barangan antik.
“Tiba-tiba saya ternampak satu patung Barbie yang pakai baju kebaya. Saya masih ingat patung Barbie itu memang dicipta khusus untuk pasaran Malaysia kerana sepupu saya pernah memilikinya,” katanya.
“ Dengan harga RM30, patung Barbie itu menjadi milik saya. Itulah patung pertama yang saya miliki selepas beberapa tahun dari tragedi patung saya dibuang.
“Dan bermula dari detik itu, saya kumpul sedikit demi sedikit patung-patung Barbie sehinggalah kini saya punya hampir 200 patung Barbie pelbagai bentuk dan warna,” kongsinya.
Namun kata Mel, dia bukanlah perlu membeli patung Barbie setiap kali munculnya keluaran koleksi terbaharu.
Sebaliknya, dia lebih gemar mengumpul koleksi vintaj yang jarang ditemui terutamanya koleksi dari tahun 90an.
“Untuk mendapatkan koleksi yang jarang ditemui, saya perlu membeli secara dalam talian dari luar negara.
“Ada juga yang saya beli di kedai-kedai bundle di sekitar Kuala Lumpur dengan harga yang jauh lebih murah.
“Sebenarnya ada patung-patung yang saya beli di kedai bundle saya jual semula selepas saya dah bersihkan serta dandan kembali patung-patung itu. Dapat juga buat duit lebih kerana patung-patung vintaj ini ada nilainya yang tersendiri,” ujarnya.
Disebabkan minatnya yang mendalam terhadap patung Barbie, Mel turut membuka akaun Instagram khas untuk berkongsi minatnya bersama orang ramai.
“Apabila saya membuka akaun berkenaan, saya dapat mengenali ramai orang dari seluruh dunia. Sangat seronok dapat berkongsi minat yang sama dengan peminat-peminat patung Barbie dari serata dunia.
“Saya juga gembira apabila kandungan yang saya muatnaik di akaun Instagram itu mendapat perhatian pereka-pereka patung Barbie. Mereka akan komen dan like. Mereka suka dengan cara saya menata gaya patung-patung berkenaan,” kongsinya.
Setakat ini Mel sudah memiliki pelbagai versi patung Barbie termasuklah yang berkulit hitam, berbadan gempal, berambut afro, berbadan dua, mirip selebriti terkenal serta banyak lagi.
Tanya saya pasa Mel, Barbie versi apa lagi yang diimpikannya. Kata Mel dia mahukan Barbie versi dirinya sendiri.
“Saya terfikir untuk mendapatkan replika patung Ken yang mirip wajah saya. Kemudian saya perlu minta pelukis wajah patung untuk melukis patung itu seperti wajah saya. Kerana terdapat pelukis yang boleh melukis wajah patung mirip wajah sebenar.
“Saya mungkin akan jadikan patung mirip wajah saya itu sendiri sebagai hadiah hari jadi di masa akan datang,” katanya sambil ketawa.
Kata Mel lagi, dia tidak akan berhenti daripada meneruskan minatnya mengumpul barangan koleksi Britney Spears dan Barbie.
“Ia tak akan berakhir. Cuma mungkin saya akan lebih selektif dan lebih spesifik dengan apa yang saya inginkan di masa akan datang,” katanya mengakhiri perbualan. - Getaran, 24 Julai 2022