web statsweb stats

Berita Terkini

10 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Inisiatif i-Kembali, Sinar Baharu Bekas Banduan

Kisah Kita Dikemaskini 3 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 22 May 2021 8:12AM

Pertanian adalah salah satu cabang tumpuan dalam program i-Kembali kepada bekas banduan. - Gambar hiasan dari Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

CYBERJAYA – Setiap individu berhak diberikan peluang kedua, sama ada untuk memperbaiki hidup setelah tersilap langkah, atau menebus kembali kesalahan yang pernah dilakukan, hingga diri terlontar di sebalik tirai besi.

Fitrah manusia itu tidak sunyi dari kesilapan dan keinginan mereka untuk berubah ke arah lebih baik, sewajarnya diberi sokongan serta bimbingan dari segenap aspek.

Bersandarkan matlamat ini, Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) tampil dengan inisiatif terpuji, khusus membantu golongan bekas banduan membina kehidupan baharu, sebaik tamat menjalani hukuman.

Dikenali sebagai sebagai i-Kembali, usaha murni ini tidak hanya memfokus kepada banduan, malah turut diperluaskan kepada bekas penagih dan gelandangan yang kehilangan arah hidup.

Pengasas PERGAK, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, beliau amat bersyukur apabila i-Kembali menerima sokongan penuh Jabatan Penjara Malaysia, yang turut memberikan kerjasama padu dalam menjayakan program berkenaan.

Menurut beliau, banduan terpilih perlu menjalan proses saringan yang amat ketat di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC), sebelum diserapkan ke aliran pekerjaan mengikut minat dan kemahiran masing-masing.

“Mereka akan disaring dan dipilih dengan begitu berhati-hati oleh satu unit khas dan majoriti peserta terdiri daripada bekas pesalah jenayah ringan seperti dadah, ragut, gaduh atau mencuri.

“Pemilihan mengikut kes jenayah itu bukan untuk memilih bulu atau pilih kasih, namun pesalah bagi kes jenayah berat lazimnya perlu menjalani hukuman dalam tempoh yang amat panjang di penjara,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Siti Murni menarik perhatian, kesemua peserta yang disaring lazimnya ditempatkan di enam sektor mencakupi perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perladangan, pemasaran serta pengurusan.

Usahawan berusia 39 tahun itu berkata, peserta terdiri daripada individu berusia antara 20 hingga 49 tahun, daripada pelbagai latar belakang, agama dan keturunan.

“Mereka diwajibkan menjalani latihan selama seminggu atau lebih di GRCC sebelum dilepaskan untuk bekerja bersama majikan masing-masing.

“Sebaik memulakan pekerjaan, mereka tertakluk kepada proses pemantauan selama setahun, hingga benar-benar bersedia untuk berdikari atau kembali ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya.

Lebih menarik jelas Siti Murni, setiap peserta juga berpeluang menerima gaji memuaskan, antara RM1,200 hingga RM2,000 bergantung kepada jenis sektor, malah turut diberikan kemudahan penginapan secara percuma oleh majikan.

“Memang di dalam penjara mereka diwajibkan mengikuti pelbagai program pemulihan namun tidak banyak program seumpamanya menanti sebaik dibebaskan.

“Lebih memeritkan, majoriti banduan perlu berdepan liku hidup yang penuh getir, dek kerana stigma negatif dan prejudis masyarakat sekeliling,” katanya kesal.

Tambah beliau, i-Kembali bertindak sebagai penyedia platform untuk golongan terbabit memperoleh pekerjaan, demi memulakan kehidupan baharu  demi masa depan yang lebih baik.

“Program i-Kembali juga boleh membantu ekonomi negara kita yang kian merosot akibat kekurangan tenaga buruh.

“Ia bukan sahaja membantu mewujudkan peluang pekerjaan, malah membolehkan kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” katanya.

Inisiatif i-Kembali ini jelas Siti Murni lagi, turut membuka ruang kepada penagih dadah yang ingin kembali ke pangkal jalan, dengan syarat mereka benar-benar bersedia untuk berubah.

“Saya amat berharap i-Kembali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk membentuk kehidupan yang lebih baik, selepas tersilap langkah satu ketika dahulu.

“Peluang sentiasa ada untuk mereka berubah, asalkan niat itu disertai dengan keazaman dan kemahuan yang benar-benar mendalam,” katanya. – Getaran, 22 Mei 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 10 bulan yang lalu

Kerajaan Cadang Buka Peluang Pekerjaan Kepada Bekas Banduan Ganti Pekerja Asing

2

Semasa 1 tahun yang lalu

13 Kali Anak Masuk Penjara, Ibu Tetap Sambut Kepulangan Dengan Senyuman

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Lolos Dari Hospital, Banduan Dicekup Semula Selepas 17 Jam

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Sambut Aidiladha Bersama Keluarga: Penghuni Penjara Sifatkan PBSL Sebagai Peluang Kedua

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara