BUKIT KAYU HITAM – Tiada lagi perasaan malu, seorang bapa, Sayan Prak Sak, 46 secara terbuka mengakui sudah beberapa kali menitiskan air mata mengenang nasib anak sulungnya, yang masih tidak diiktiraf sebagai warganegara.
Meski sudah mencecah 19 tahun, nasib Kathanak hakikatnya masih terumbang-ambing dek ‘kesilapan’ kedua ibu bapanya.
Sama sekali tidak berniat menuding jari kepada sesiapa, Sayan ketika ditemui di kediamannya semalam, mengakui semua masalah itu diakibatkan oleh kejahilan dirinya dan isteri yang hanya bekerja sebagai penoreh getah.
Katanya, dia sekeluarga juga tidak pernah berniat melanggar atau memperlekehkan undang-undang negara dan berharap anaknya tidak menjadi ‘mangsa’ atas kesilapan dilakukan.
"Segalanya bermula apabila saya mengahwini isteri, Sawitree Darasawang yang merupakan warganegara Thailand pada 2003. Perkahwinan kami pada masa itu berlangsung di Kampung Lubok Sengkuang, Changlun iaitu lokasi kami tinggal sekarang, mengikut kepercayaan Buddha.
"Namun disebabkan kejahilan kami dan beberapa masalah lain, perkahwinan itu hanya didaftarkan pada 2006. Dalam tempoh itu, Khathanak yang merupakan anak sulung kami dilahirkan pada 2004 di Hospital Jitra,” katanya, membuka bicara.
Jelas Sayan, Kathanak menerima status bukan warganegara kerana kelahirannya berlaku sebelum sempat dia dan isteri mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah mengikut undang-undang sivil negara.
“Disebabkan itu, hingga kini dia tidak memiliki Mykad menyebabkan keadaan menjadi sukar buatnya," katanya.
Sayan menambah, dia dan isteri dikurniakan dua lagi zuriat yang kini berusia 14 serta lima tahun selepas kelahiran Kathanak, dan bersyukur kerana mereka tidak mengalami masalah.
“Kedua-dua adik Kathanak dilahirkan selepas saya dan isteri mendaftarkan perkahwinan secara sah mengikut undang-undang sivil.
"Cumanya kini, saya cukup runsing apabila memikirkan masa depan Khathanak kerana dia sudah menginjak dewasa dan sudah tentu perlu menyara hidupnya sendiri selepas ini,” keluhnya.
Jelas Sayan, Kathanak hanya mampu meneruskan pelajaran setakat darjah 6 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Min di Changlun akibat masalah itu.
“Sekarang, dia berdepan pula masalah sama apabila sukar mendapatkan pekerjaan kerana status dipegang itu,” katanya, sedih.
Sayan memberitahu, dia sudah beberapa kali berusaha untuk mengubah nasib Kathanak tetapi tidak pernah berjaya, malah pernah ditipu sewaktu cuba mendapatkan status warganegara untuk anaknya ketika remaja itu berusia tiga bulan.
"Saya ini duduk di kampung dan apabila ada orang kata perlu bayar untuk dapatkan taraf warganegara, saya hanya menurut. Sampailah Khathanak berusia lima tahun, akhirnya apa pun tak ada.
"Kemudian saya buat permohonan secara terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Saya lalu menerima surat dari JPN pada 2013 menyatakan permohonan itu tidak berjaya tanpa ada dinyatakan sebab," katanya.
Tambahnya, dia kemudiannya membuat permohonan buat kali kedua di JPN pada 2018 namun masih belum beroleh sebarang jawapan sehingga kini.
“Saya amat berharap permohonan ini diluluskan. Kalaulah kerajaan dapat pertimbangkan dan beri kelulusan sebelum tibanya hari Merdeka 31 Ogos ini, itu sudah tentu akan menjadi hadiah terbaik buat kami sekeluarga dalam menyambut hari bersejarah negara," katanya.
Dalam pada itu Khathanak berkata, masalah menimpanya itu menyebabkan dia terpaksa memendamkan sahaja hasrat untuk mencari pekerjaan lebih baik seperti rakan-rakan lain.
"Memang ada sebenarnya impian untuk bekerja di luar seperti rakan-rakan lain tetapi disebabkan masalah ini, saya terpaksa lupakan saja," katanya yang turut gagal memiliki lesen kenderaan seperti diidamkan akibat status disandangnya. - Getaran, 23 Ogos 2023