IPOH - Perbezaan warna kulit dan agama tidak menjadi tembok penghalang kepada pengawal keselamatan K. Kittu, 50, atau lebih mesra disapa ‘Uncle Kittu’ menjalin hubungan akrab serta melayan kerenah ratusan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Putera di sini, yang rata-ratanya terdiri dalam kalangan bangsa Melayu.
Kittu berkata sejak enam tahun menyemai bakti di sekolah berkenaan banyak kenangan indah terukir hingga menyebabkan hatinya begitu berat meninggalkan semua murid yang dianggap seperti anak sendiri.
“Boleh kata ratusan murid di sini saya boleh ingat nama, perwatakan dan momen bersama mereka. Ada (murid) yang datang minta belanja aiskrim, keropok dan sebagainya.
“Saya tidak rasa perkara itu membebankan, malah lebih mengeratkan hubungan bersama mereka yang saya anggap macam anak-anak saya sendiri,” katanya yang ditemui BERNAMA di sekolah berkenaan.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 13 saat menerusi media sosial memaparkan murid sekolah berkenaan bersalam dan memeluk sambil memberikan hadiah kepada Kittu dalam satu majlis perpisahan yang dianjurkan oleh sekolah terbabit.
Majlis yang menyentuh hati itu telah diatur pengurusan sekolah pada 30 November lepas sebagai penghargaan kepada Kittu yang akan berpindah ke tempat baharu.
Bapa kepada empat cahaya mata yang berasal dari Taiping itu berkata beliau sentiasa menyematkan dalam diri supaya melaksanakan tugas seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan atau pujian daripada mana-mana pihak.
“Kita perlu ikhlas dalam melayan kerenah murid. Apabila kita ikhlas akan ada sifat kasih sayang, hormat-menghomati dan sebagainya. Muka mesti ceria, hati juga perlu tenang. Baru kita boleh seronok bekerja,” katanya.
Ditanya tentang hubungan bersama guru dan ibu bapa murid, katanya ia berlangsung baik malah setiap daripada mereka menaruh kepercayaan yang tinggi kepadanya khususnya membabitkan aspek keselamatan sekolah.
“Cikgu-cikgu di sini tak pernah ganggu atau masuk campur tugas saya. Mereka berikan kepercayaan penuh kepada saya dan rakan-rakan untuk melancarkan aliran lalu lintas, memastikan murid datang ke sekolah dan pulang dengan selamat dan sebagainya.
“Di pihak ibu bapa pula, mereka tidak pernah merungut malah mematuhi peraturan-peraturan keselamatan sekolah yang telah ditetapkan,” katanya
Sementara itu, Pengerusi Kelab Guru SK Bandar Baru Putera Mohd Bazli Ramli berkata Kittu sememangnya disayangi warga sekolah kerana sikapnya yang ringan tulang dan tidak sesekali merungut terhadap tugas yang diamanahkan.
“Pernah suatu ketika, dia datang sekolah untuk bantu kami menjayakan aktiviti perkhemahan sedangkan itu bukan tugasnya. Kalau ada majlis mahu dianjurkan pihak sekolah, dia antara individu yang sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan,” katanya menambah Kittu banyak memudahkan ibu bapa dalam melancarkan lalu lintas di hadapan sekolah.
Menurut Mohd Bazli sepanjang beliau berkhidmat di sekolah berkenaan, Kittu tidak pernah sesekali menunjukkan reaksi marah atau meninggikan suara apabila berhadapan dengan guru atau murid.
"Jadi tidak hairan apabila dia hendak bertukar ke tempat lain, ramai orang macam berat hati.
"Ramai murid memberikannya hadiah pada hari itu sebagai tanda perpisahan, menunjukkan betapa dia disayangi," katanya. - BERNAMA
Semua foto : BERNAMA