Ahad lalu, saya bangun pada pukul 3.15 pagi untuk berjumpa seorang kenalan.
Tepat pada pukul 4.50 pagi, saya dan rakan sekerja berjumpa dengan Dr M. Narendran di stesen petrol BHP, selepas Plaza Tol Gombak.
Dr Narendran merupakan seorang pakar oftamologi dan pakar bedah vitreo-retina di sebuah hospital swasta di Klang.
Misi kami pagi itu ialah untuk ke Bahau yang merupakan bandar utama di Jempol, Negeri Sembilan.
Tepat pada pukul 5 pagi, kami memulakan perjalanan kami dengan menaiki dua motosikal.
Walaupun biasa menjelajah banyak tempat menarik menggunakan motosikal hampir dua dekad lalu, inilah kali pertama penulis menikmati perjalanan sebelum matahari terbit.
Gelap, kabus yang tebal, sejuk, udara yang cukup segar. Inilah yang dialami ketika melalui Karang, Telemong dan Manchis.
Perasaan mengantuk hilang tatkala melalui jalan yang sempit, sepi dan gelap.
Hanya bunyi enjin motor dan bunyi cengkerik mengilai yang menemani kami di sepanjang perjalanan di sebalik keheningan pagi.
Pada masa itu, banyak perkara yang berlegar di minda penulis termasuk erti sebenar kehidupan.
Betul kata orang, kesepian boleh mengakibatkan fikiran seseorang itu melayang.
Namun, realiti kembali sebaik sahaja fajar menyising. Kicauan burung seakan-akan memberi isyarat kepada penulis agar kembali ke dunia nyata.
Sesampai ke Bahau pada pukul 8.30 pagi, kami menjamah sarapan di Ming Fatt Kopitiam, di mana kami berjumpa dengan Dr Goh Kay Yow, seorang kenalan Dr Narendran.
Dr Goh, seorang pengamal perubatan am, berasal dari Teluk Intan. Beliau pernah bertapak di Kepong, Kuala Lumpur sebelum ini, tetapi keinginan untuk melalui kehidupan yang lebih tenang mendorong beliau berhijrah ke Bahau, bersama keluarga, hampir sedekad yang lalu.
Sambil bersarapan, Dr Narendran menceritakan beliau gemar bermotosikal awal pagi. Kadang-kadang beliau akan menunggang motornya sampai ke Port Dickson, sebelum menghala ke pejabatnya di Klang.
Mengapa? Saya bertanyakan, kepada Dr Narendran.
Beliau hanya tersenyum lebar.
Saya tidak mendapat jawapan darinya pada hari itu.
Namun, setelah beberapa hari berlalu, saya kini faham, mesej yang disampaikan Dr Narendaran.
Pokoknya, kita semua pernah mendengar ungkapan bahawa kita harus keluar dari zon selesa.
Dengan hanya memberanikan diri untuk keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang belum pernah dibuat, boleh kita meluaskan perspektif dan sentiasa mara kehadapan.
Benarkah keputusan untuk melihat dunia sebelum masuk waktu subuh boleh mengubah perspektif anda secara 180 darjah?
Ternyata sama sekali, buat penulis.
Pearl Lee merupakan pengasas bersama dan pengarang urusan portal berita Twentytwo13. Hubungi beliau melalui Twitter @pearllee22