Pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan pada Rabu lalu merupakan sesuatu yang dinantikan sejak sekian lama.
Mulai 1 Mei ini, kita tidak lagi perlu memakai pelitup muka di luar bangunan dan tempat terbuka. Penjarakan fizikal juga sudah tidak diperlukan.
Aplikasi MySejahtera sudah boleh disemadikan setelah dua tahun berjasa kerana tiada lagi keperluan mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis.
Kemasukan kemana-mana premis juga dibenarkan, tidak kira sama ada sudah divaksin atau belum.
Tidak akan ada lagi ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan di lapangan terbang untuk mereka yang sudah lengkap divaksinasi. Pendekatan yang sama juga diambil oleh Singapura.
Walaupun ramai yang berasa teruja denggan kelonggaran baru ini tatkala Syawal menjelma, namun ada juga yang berasa 'gerun' dengan pendekatan baru ini.
Bagi mereka, perkara ini bukanlah 'hadiah awal' Aidilfitri yang dipinta.
"I akan tetap pakai mask. Selama dua tahun selamat dari COVID dan juga tak jatuh demam," kata seorang rakan baik.
"Ngeri. Tak sanggup tak pakai mask kalau beli pisang goreng tepi jalan tu, okay," seorang lagi kenalan berkata.
"Tak kira, aku akan kekal mangamalkan penjarakan sosial kerana tidak berasa selamat di luar sebab lepas ni semua bebas bergaul," tambah seorang lagi kawan.
Pokoknya, bagi yang selama ini mematuhi SOP secara terperinci, mereka merasakan kelonggaran yang baru ini agak 'drastik'.
Namun, pakar perubatan mengatakan kelonggaran baru ini adalah memadai dan tepat pada masanya. Malah pendekataan sebegini turut dilaksanakan di negara lain.
Denmark, Iceland, Sweden, Norway, United Kingdom, Romania, Poland, Bulgaria, Hungary, Romania, Slovenia, Croatia, Republik Czech, Estonia, Ireland dan Belanda tiada lagi keperluan untuk memakai pelitup muka.
Manakala pendekatan seperti di Malaysia (memakai pelitup muka di tempat sesak termasuk di dalam pengangkutan awam) dipraktikkan di Greece, Austria, Itali, Perancis, Portugal, Jerman dan juga Singapura.
Awal minggu ini Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata walaupun trend kematian COVID-19 di seluruh dunia semakin menurun, ini mungkin disebabkan jumlah saringan di seluruh dunia yang semakin berkurangan.
Menurut beliau, trend ini akan mengakibatkan kita 'semakin buta' kepada corak transmisi dan evolusi virus.
'Ignorance is not bliss', Ghebreyesus menambah.
Tetapi, melalui kelonggaran SOP yang baru, mesej yang disampaikan oleh kerajaan Malaysia sebenarnya mudah.
Kita sudah menjalankan tanggungjawab dan amanat yang diberikan selama dua tahun. Kini tanggungjawab berada di tangan anda (rakyat).
Pemikiran logik dan membuat apa yang terbaik untuk diri sendiri harus menjadi tanda ukur untuk mara ke depan.
Tidak akan ada orang yang akan memaksa anda untuk tidak memakai pelitup muka semasa berjalan di luar rumah, atau akan memaksa untuk duduk rapat-rapat jika kurang selesa.
Mulai, 1 Mei, buatlah apa yang terbaik untuk diri anda sendiri, tidak ada yang akan dan patut menyindir jika anda tidak mengikut apa yang dilakukan majoriti.
Pearl Lee merupakan pengasas bersama dan pengarang urusan portal berita Twentytwo13. Hubungi beliau melalui Twitter @pearllee22 atau emel pearl.lee@twentytwo13.my