web statsweb stats

Berita Terkini

9 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Kehidupan Penuh Ranjau Ibuku, Mualaf Berjiwa Besar

Kolum Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 12 May 2024 10:21AM

Di sinilah bersemadinya jasad Mummy - Gambar M.Zulkifli

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Lebih daripada bulan-bulan yang lain, Ramadan dan Syawal membuatkan aku terkenang dan berfikir panjang tentang Allahyarhamah ibuku yang telah kembali ke Rahmatullah dua puluh tahun yang lampau. 

Kisah-kisah indah memang terlalu banyak. Kuih tart nanas yang saban tahun dibuat dengan penuh kasih sayang untuk kami sekeluarga masih lagi yang paling enak pernah aku rasa. Tak boleh lupa bagaimana ibu membuat inti nanas itu sendiri yang rasanya sempurna, tidak terlalu masam atau manis. 

Tugas aku pula adalah membuat hiasan atas tart itu sendiri dengan mengambil sedikit adunan yang tersedia dan membentukkannya seperti bulan dan bintang. Tart itu semua pula dibakar dalam ketuhar hitam jenama Butterfly

Sebaik siap, akulah orang pertama yang ‘merasmikan’nya. Mmm, memang nikmat sungguh, lebih-lebih lagi kerana ia dibuat hanya setahun sekali. 

Pergi membeli belah di Woodlands, Singapura menjelang Syawal juga satu lagi kenangan yang cukup bermakna. Walaupun bajet tak besar, tapi rasa seronok tak terperi. Selesai membeli belah, kami akan ke food court berhampiran di mana aku akan biasanya berbuka puasa dengan capati, sebaik saja dengar azan Maghrib berkumandang. 

Tapi dua bulan yang mulia ini juga membuat aku termenung mengenangkan perjalanan hidup penuh ujian Allahyarhamah. 

Ibuku merupakan seorang mualaf. Berbangsa kacukan Serani dan Filipina, dia dilahirkan beragama Roman Katolik. Dan dari usia muda lagi, hidupnya sering terumbang-ambing. Tanpa bapa yang telah pergi sejak kecil, ibuku sering terpaksa berpindah dari satu rumah saudaranya ke rumah yang lain. 

Sebagai adik bongsu dalam keluarga, dia pernah didera dengan teruknya oleh seorang kakak ipar sehingga terpaksa melarikan diri. Kebanyakan kisah penderitaannya aku dengar ketika dia menceritakan kepada orang lain yang rapat dengannya. Mungkin masa pertama kali dengar, aku terlalu kecil untuk faham, tapi bila dah besar dah matang, aku akan sendiri berasa murung bila memikirkan apa yang dilaluinya. 

Namun, Allahyarhamah ibu seorang survivor. Beliau pandai berdikari dan mencari bahagia mengikut acuannya sendiri. Dan pada umurnya lewat 20an, dia telah ditemukan dengan Allahyarham bapaku di Johor Bahru. Ceritanya, it was love at first sight untuk ayahku. Selepas kenal hanya beberapa bulan, diajaknya ibuku berkahwin. 

Aku dalam dukungan Mummy - Gambar M.Zulkifli
Aku dalam dukungan Mummy - Gambar M.Zulkifli

Walaupun berlainan bangsa dan agama, ibuku terima lamarannya. Hidayah Allah boleh menjelma dalam pelbagai cara, dan ibu dengan rasminya memeluk Islam bukan hanya untuk bernikah, tetapi percaya yang inilah jalan yang sebenarnya. 

Beliau juga pernah bercerita yang ketika dia masih kecil, pernah dijaga sekejap oleh pasangan suami isteri beragama Islam. Ketika dia dipulangkan kembali ke keluarga, si suami berkata, “Ini anak kami, ini anak Islam.” Alhamdulillah, lebih dua dekad kemudian, ibu mengucap dua kalimah syahadah…

Namun, perkahwinan ibu dan ayah bukan pembuka sebuah kisah fairy tale. Mereka sendiri sangat in love, namun keluarga baharu dan masyarakat sekeliling mengambil masa untuk terima kehadiran ibuku. 

Sebagai “orang asing” banyak yang perlu dia belajar dan fahamkan untuk menyesuaikan diri. Tak perlu aku buka aib sesiapa, tapi memang panas telinga bila aku diceritakan tentang beberapa insiden yang mengguris hati ibu sedalam-dalamnya. 

Sebagai saudara Islam baharu pula, ibu menghadapi pelbagai struggle dan cabaran. Tidak boleh membaca tulisan jawi dan tidak berkesempatan belajar mengaji, dia hanya mampu menghafal Al-Fatihah dan beberapa surah lazim untuk menyempurnakan solat.  

Pernah dia membaca Al-Quran yang bertulisan rumi tapi apabila diberitahu bacaan sebegini tidak begitu tepat makhrajnya, dia terus berhenti serta-merta.

Namun, Alhamdulillah, walaupun banyak kekurangan, ibu tidak tinggalkan solat. Sehingga ke hari ini, saudara bukan Islam aku sendiri selalu memberitahuku yang ‘Auntie Phil’ (singkatan dari nama asal penuhnya, Philomena) selalu membawa beg kecil berisi telekung dan sejadahnya bila berkunjung ke rumah mereka. 

Untuk mendalami ilmu agama, Allayarhamah banyak membeli kaset-kaset ceramah dari kedai berhampiran bandar Tampoi. Itulah cara paling popular pada era pra-CD, pra-saluran TV kabel, pra-Internet. Yang paling banyak dalam koleksinya adalah kaset Profesor Dr. Hamka, ulama terkenal dari Indonesia yang aku pasti semua kenal.

Aku sendiri kadang-kadang akan mendengar sama dan banyak yang aku telah belajar termasuk ilmu fekah, sirah dan tauhid. Yang mana aku terlepas, ibu selalu ceritakan padaku sebelum tidur, dan banyak ilmu yang dikongsikannya ini aku ingat sehingga sekarang. 

Selain itu, banyak juga buku-buku asas ilmu agama yang dibelinya untuk menambah baik pengetahuannya mengenai Islam. Sehinggalah satu ketika beliau rasa berani dan selesa untuk berkawan dengan kumpulan muslimah di surau taman perumahan dan hadirkan diri ke kuliah-kuliah agama.

Step by step. Itulah pendekatan ibu yang membuat aku kagum bila difikirkan sekarang, Menutup aurat dengan sempurna pun beliau mengambil sedikit masa. Mungkin ianya dianggap mudah bagi yang melihat dari luar, tapi kita tak tahu apa yang bermain dalam hati dan minda mereka yang diberikan ujian sebegini. 

Sebab itu aku merasa berang bila melihat ada yang cepat menghukum saudara baharu kita yang belum sempurna ibadah atau penampilannya. Lebih bagus kita bersangka baik! Hujani mereka dengan kata-kata semangat yang positif. Bukan sekadar menuding kepada setiap perkara yang tak betul atau tidak sempurna. 

Allahyarhamah ibuku juga seorang yang sangat penyabar. Jarang sekali aku dengar dia merungut walaupun kami hidup serba sederhana. Dan walau dia dianiaya secara perlakuan atau cakap-cakap di belakang, dia tetap bersabar dan tak membalas dengan perbuatan yang sama.

Lebih istimewa, dia sangat suka memberi. Kalau ada orang datang ke rumah dan meluahkan rasa suka akan apa saja yang ada di dalam rumah kami, ibu akan ambil dan terus jadikan hadiah. Tak kiralah bunga perhiasan ke, pinggan mangkuk ke, mahupun hasil mikrami yang dibuat sendiri dengan Allahyarham ayahku. 

Bila aku dengar ungkapan Superwoman, tiada lain yang aku bayangkan selain Allahyarhamah ibuku. Perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri, ibu dan mualaf penuh ranjau, tapi raut wajahnya sentiasa tenang, hatinya sarat husnuzon dan tutur katanya penuh luahan kesyukuran. 

Semoga tenang di sana, Mummy

M.Zulkifli merupakan teraju utama getaran.my dan seorangbekas majistret

Berita Berkaitan

1

Kolum 3 bulan yang lalu

Dari Server Ke Sungai: Impak Pelaburan Digital Terhadap Keselamatan Air Negara

2

Kolum 3 bulan yang lalu

Gambaran Menyeluruh Pemasaran Menurut Generasi

3

Kolum 4 bulan yang lalu

Cabaran Iklim: Memperkukuhkan Daya Tahan Ekonomi Negara

4

Kolum 4 bulan yang lalu

Menjelajah Potensi Pusat Data: Membuka Peluang Ekonomi Baharu Di Malaysia

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara