Biarpun terpaksa berada di lokasi penggambaran sehari suntuk untuk menyiapkan video muzik (VM), ‘Gelek Jambu’, kumpulan The Gadys tidak merungut, bahkan kekal aktif dan bertenaga menyempurnakan tanggungjawab itu.
Menurut Ayunie Rizal, mewakili The Gadys bersama tiga anggota kumpulannya yang lain iaitu Nelissa Nizam, Aznie Azmi dan Faa Zaini, berkata walaupun, terpaksa bersengkang mata sehingga jam 5 pagi untuk menyiapkan VM, mereka tidak merasa terbeban, disebabkan terlalu teruja.
“Proses rakaman MV sangat seronok. Sebab sepanjang proses menyiapkan lagu ‘Gelek Jambu’ ini dari proses penghasilan lagu hingga rakaman VM selesai semuanya berjalan lancar dan dibuat dalam suasana yang menyeronokkan.
“Kami menjalani penggambaran selama 24 jam, tapi jam 5 pagi pun kami masih bertenaga untuk meneruskan penggambaran dalam menghasilkan VM ‘Gelek Jambu’, kami tidak terasa jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi, disebabkan terlalu teruja.
“Pihak produksi juga memberi aura dan semangat yang baik. Kami sukakan semua set, ‘feel’, ‘look’ dan visual untuk VM ini.
“Bukan sahaja proses rakaman yang seronok, tapi penggambaran VM ini juga membuatkan masing-masing tidak sabar untuk menunjukkan hasilnya kepada peminat,” katanya.
Bagi Nelissa pula, lagu ‘Gelek Jambu’ adalah karya yang unik, segar dan dan sesuai untuk pasaran muzik semasa sekaligus bakal menarik perhatian pengguna laman sosial terutama di TikTok.
“Lagu ‘Gelek Jambu’ ini sangat ‘fun’ dan ‘cheeky’ sebab ada pelbagai gaya. Ada ‘cute’, reggaeton, rock dan tradisional sebagai muzik latar.
“Lagu ini mengisahkan bagaimana The Gadys bersikap sambil lewa dalam perhubungan. Jika tak suka dengan cara pasangan tu, jika ia toxic, buang jauh-jauh dan berseronok dengan orang lain yang penting iaitu rakan kita, The Gadys,” jelasnya.
Aznie Azmi yang turut berkongsi pengalamannya berkata, proses rakaman lagu Gelek Jambu banyak dibantu Mage dan Glow Rush.
“The Gadys bukan hanya menyanyi biasa, tetapi kita menyanyi dengan karakter dan emosi daripada setiap lirik yang dinyanyikan.
“Sehingga waktu saya kena nyanyi bahagian saya, Glow Rush suruh pegang gitar seolah ‘rockstar’, pegang beg dan cawan seolah perempuan yang jual mahal.
“Dalam erti kata lain, proses rakaman sangat menyeronokkan walaupun diulang banyak kali," ujarnya.
Sementara itu, Faa Zaini mengakui The Gadys seronok dapat bekerjasama dengan semua individu yang profesional hingga menghasilkan karya yang berkualiti.
“Pengalaman bekerja dengan Mage dan Glow Rush sangat mengujakan. Mereka membuat The Gadys berpuas hati dengan hasil akhirnya yang hebat. Selain itu, Sofia Sabri juga terbabit membentuk tarian 'Gelek Jambu' ini.
“Kelas tarian kami akan dibuat dua hingga tiga kali seminggu. Banyak perkara baru yang kami belajar semasa dalam kelas menari dengan Sofia. Kami dapat merasakan yang kami ada peningkatan dari hari ke hari.
“Semasa penggambaran MV pula, semua kru sangat memberikan sokongan yang membuatkan kami tak mengeluh dan mudah putus asa,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menyiapkan lagu dan VM ‘Gelek Jambu’ kumpulan tersebut, Nelissa berkongsi bahawa cabaran utama yang dihadapi mereka adalah jadual penggambaran yang sangat padat.
“Sebenarnya, kami juga turut terlibat dalam bidang lakonan. Namun, jadual penggambaran yang sangat padat masih tidak menghalang kami untuk menyiapkan VM 'Gelek Jambu'.
“Ada yang tidak tidur, habis penggambaran VM jam 5 pagi dan terus ke lokasi penggambaran drama pada jam 8 pagi. Mandi di set penggambaran pun ada.
“Itu belum lagi latihan menari sampai jam 2 pagi, tetapi Alhamdulillah, semua ujian dapat kami tempuhi dengan baik kerana rasa sayang terhadap satu sama lain dan semangat yang tidak pernah pudar,” luahnya.
Kumpulan wanita yang mempunyai lebih 200,000 pengikut dan mendapat lebih 2.8 juta tanda suka di TikTok ini berharap lagu single ‘Gelek Jambu’ akan dapat sambutan yang tinggi.
“Lagu ini dapat memberi senyuman, gelak tawa dan meningkatkan ‘mood’ untuk semua orang. The Gadys juga berharap, walaupun lagu ini ada selit sedikit ‘Indonesian ad-lip’, semoga semua dapat ‘enjoy’ walau di mana jua anda berada,” tambah mereka.
‘Gelek Jambu’ kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube The Gadys sejak 9 September 2022 yang lalu.
Tonton muzik video Gelek Jambu di sini: https://youtu.be/pjA5mQSgRTg. – Getaran, 20 September 2022