Siri Konsert Jelajah Suria Anggun Cotton Collection bagi musim ini telah pun berakhir dengan jayanya di lokasi terakhir iaitu di Tropicana Gardens Mall Petaling Jaya pada 4 Mac lalu.
Hampir 10,000 pengunjung hadir bagi menyaksikan persembahan hebat daripada barisan artis popular serta penyampai-penyampai radio Suria FM.
Untuk konsert penutup siri jelajah ini, Suria telah menampilkan penyanyi popular dari era 80an, 90an sehinggalah yang terkini. Antara artis yang terlibat ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud, New Boyz, Akim & The Majistret, Misha Omar, Dolla, Venus, Alif Satar & The Locos, Mus, Airliftz, Amsyar Leee, Iss Arffan, Aliff Iskandar, Aufahanie, Rief Danial dan Amir Hasan.
Ruang legar pusat beli belah Tropicana Garden Mall gamat dengan sorakan peminat yang telah hadir sejak dari pagi lagi.
Antara persembahan yang menggamatkan suasana tentunya daripada Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ogy. Bukan sahaja terkenal sebagai pelakon dan penyanyi, tetapi kepetahannya berbicara di hadapan penonton tidak dapat disangkal lagi.
Ogy adalah definisi sebenar seorang penghibur. Malah dia sempat bergurau bahawa dia sebenarnya ingin menyanyikan lagu 'Flowers' daripada Miley Cyrus, namun Suria memintanya untuk menyanyikan lagu popular beliau iaitu 'Wajah Rahsia Hati' dan 'Bila Bunga Bunga Berguguran'.
“Saya seronok dapat menyertai Konsert Jelajah Suria ini kerana ia mengembalikan memori ketika saya menyanyi di Fun Fair di era 80an.
“Kenangan itu sangat indah, bagaimana kita ‘struggle’ untuk menjadi penyanyi. Jadi bila ditawarkan oleh Suria untuk membuat persembahan pada konsert jelajah ini saya terima kerana saya ingin mengimbas kembali kenangan itu.
“Di usia 60 tahun, saya rasa sangat seronok kerana penonton masih lagi meminati dan memberi sokongan kepada saya terutamanya daripada golongan muda.
“Saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana lagu-lagu saya masih lagi relevan sehingga ke hari ini,” katanya yang ingin menyertai lagi konsert jelajah Suria andai diberikan tawaran di masa akan datang.
Selain persembahan Ogy, persembahan daripada Misha Omar juga dinantikan-nantikan oleh peminat. Pada petang itu Misha menyampaikan dua buah lagu hitnya iaitu 'Bunga Bunga Cinta' dan 'Sampai Bila'. Namun disebabkan begitu teruja bertemu dengan peminat, Misha sempat belanja lagu 'Pulangkan' yang dinyanyikan secara spontan sambil duduk di atas tangga pentas.
“Satu yang bagus tentang radio Suria yang saya patut ‘highlight’, mereka tak kisah tentang berapa pun usia penyanyi itu, asalkan bagus mereka akan panggil.
“Kalau kita tengok konsert Jelajah Suria ini, kombinasi penyanyi-penyanyi yang membuat persembahan sangat baik. Mereka tidak mensasarkan kepada satu peringkat umur sahaja.
“Saya seronok dapat sertai program sebegini kerana ‘vibes’ yang diberikan oleh penonton sangat lain. Saya banyak menyanyi di majlis-majlis tertutup, hanya untuk penonton yang tertentu dan eksklusif.
“Di konsert Jelajah Suria inilah yang akan menguji bagaimana cara saya berkomunikasi dengan penonton dalam masa yang sama menyentuh hati mereka, “ katanya.
Antara persembahan yang paling dinantikan pada hari itu semestinya daripada kumpulan New Boyz. Mana tidaknya ini adalah kali pertama New Boyz membuat persembahan di khalayak umum selepas kembali bersama.
Ramai peminat New Boyz yang hadir pada hari itu. Malah ada yang datang sejak dari pagi untuk mendapatkan tempat duduk di hadapan. Disebabkan sambutan hangat yang diberikan oleh pengunjung, New Boyz berbesar hati menambah satu lagi lagu atas permintaan peminat.
“Saya sangat terharu melihat sokongan peminat. Ada yang datang awal semata-mata nak duduk di bahagian hadapan. Walaupun New Boyz sudah lama tidak buat persembahan bersama tetapi peminat masih menantikan kehadiran kami,” ujar Tomok.
Sementara itu bagi Pengurus Besar Suria FM iaitu Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, dia lega apabila siri jelajah kali ini telah berakhir dengan jayanya biarpun pada hari berkenaan terdapat beberapa konsert besar lain yang berlangsung termasuk konsert Blackpink.
“Sejujurnya kita bimbang juga bila tarikh yang kita pilih ini bertembung dengan konsert konsert besar yang lain. Tetapi bila difikirkan semula, buat apa kita nak fikir negatif. Kita kena yakin bahawa kita juga punya pendengar setia kita sendiri. Mereka ini sentiasa menyokong kita walau apa jua keadaan sekalipun.
“Jelajah Suria di lokasi terakhir ini membuktikan bahawa sesungguhnya Suria FM mempunyai pendengar yang sangat setia. Kami sangat bersyukur dan gembira. Mudah-mudahan sokongan padu ini bakal menyumbang kepada peningkatan jumlah pendengar Suria FM juga kedudukan Suria FM yang bakal kita ketahui tidak lama lagi,” kongsinya.
Tambah Dj Lin, cabutan bertuah motorsikal Modenas MR 3 bernilai lebih RM 4,000 di lokasi akhir ini telah dimenangi oleh Azmi, pendengar setia yang tidak mengenal erti penat dalam menyokong semua aktiviti Suria FM dari awal penubuhan sehingga kini.
“Kami sangat tersentuh hati dan gembira pendengar Suria bukan sahaja daripada golongan tertentu tapi datang daripada pelbagai latar belakang dan kisah hidup berbeza,” katanya.
Bagi mengekalkan kemeriahan jelajah, Suria FM bersama barisan penyampai Morning- Morning Suria, Ajak, Shuib dan Suraya akan kembali turun padang temui para peminat bagi siri kedua “Morning Morning Suria Belanja Makan” di sekitar Lembah Klang pada 11 Mac (Sabtu) dan 12 Mac 2023 (Ahad) ini bertempat di beberapa lokasi seperti di Warung Soto Kedai Basikal, Rantau Panjang, Klang dan seterusnya makan tengah hari di Dapur Che Lah, Shah Alam.
Keesokan harinya, pada 12 Mac (Ahad), pendengar berpeluang bersarapan bersama Ajak, Shuib dan Suraya di Sate 7 Pagi, Seri Kembangan kemudian makan tengahari di Asam Pedas London, Selayang bermula jam 12 tengahari hingga 3.00 petang. – Getaran , 8 Mac 2023