KUALA LUMPUR - Peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah mesej jelas bahawa ini bukan waktu sesuai untuk mengadakan pilihan raya.
Pensyarah Geografi Pilihan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaidi Awang Besar berkata, rakyat masih mempercayai sistem yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun kebimbangan terhadap wabak pandemik COVID-19 menyebabkan mereka takut untuk keluar mengundi.
“Orang ramai masih yakin dengan sistem pilihan raya namun ini bukan masa sesuai untuk proses seumpama itu diadakan kerana penularan pandemik COVID-19 masih berleluasa, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan SPR.
“Kerajaan perlu meneliti, bila waktu sesuai untuk adakan pilihan raya. Mungkin habiskan dahulu penggal lima tahun kerajaan sedia ada barulah diadakan PRN seperti zaman Datuk Seri Najib Razak sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.
Dalam PRN Sarawak ke-12 kali ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang secara rasmi apabila berjaya mencapai majoriti mudah, selepas mengungguli 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) setakat jam 8.45 malam tadi menyaksikan GPS yang diterajui Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperbaharui mandat memerintah untuk lima tahun akan datang.
Abang Johari yang julung kali bertanding di kerusi DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok disandangnya sejak sembilan penggal lalu, menang dengan 4,310 undi.
Beliau menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, yang memperoleh 703 undi, calon AMANAH, Kamal Bujang (94 undi) dan calon Parti Bumi Kenyalang, Tomson Ango (157 undi).
Selain itu, GPS turut memenangi kerusi Sebuyau, Belaga, Beting Maro, Pelagus, Balai Ringin, Baleh, Balingian, Muara Tuang, Bukit Assek, Stakan, Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut dan Bukit Sari.
Dalam pada itu Junaidi memaklumkan, tidak mustahil situasi norma baharu SOP yang ketat sepanjang tempoh berkempen menjadi antara faktor peratusan keluar mengundi berkurangan.
“Kegagalan penduduk luar kawasan pulang mengundi juga antara faktor yang menyumpang kepada pengurangan itu,” katanya.
Pada masa sama beliau menegaskan, pengurangan peratusan mengundi mungkin juga mungkin berpunca daripada aktiviti berkempen yang sangat terhad.
“Kalau dilihat dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, PRK Chini sehinggalah ke PRN Sabah, Melaka dan Sarawak, peratusan mengundi menurun disebabkan orang ramai takut untuk keluar kerana wabak COVID-19 masih belum reda, apatah lagi dengan kedatangan varian Omicron.
“Tiket mahal juga antara faktor penduduk luar kawasan tidak pulang mengundi, khususnya mereka yang berada di luar kawasan. Tidak berbaloi untuk mereka pulang hanya setakat memilih kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi tidak menolak cadangan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk sistem pilihan raya negara diadakan secara atas talian.
Namun beliau berpandangan, ia perlu dilakukan kajian teliti bagi memastikan sistem undi secara atas talian dilaksanakan secara telus supaya tiada manipulasi dari mana-mana parti yang bertanding.
“Dari segi demokrasi, ini perlu kerana rakyat nak pemimpin turun laksana tanggungjawab namun perlu juga melihat, bagaimana kaedahnya jika pilihan ray aitu melibatkan kawasan pedalaman yang tiada capaian internet.
“Kena lihat dengan terperinci siapa yang akan memantau sistem itu, bagaimana ketulusannya untuk memberi keyakinan kepada orang ramai bagi memastikan tiada manipulasi berlaku,” katanya. - Getaran, 18 Disember 2021.