web statsweb stats

Berita Terkini

1 hari yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Debat Perdana: 'Situasi Menang-Menang', Gabungan Idea Anwar, Najib Perkukuh Negara

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 May 2022 9:14PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tiada pihak yang menang atau kalah pada Debat Perdana membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), semalam.

Sebaliknya, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaidi Awang Besar berkata, acara itu menyaksikan dua figura politik tanah air berkenaan, mempunyai kelebihan masing-masing dalam memberikan pandangan dan cadangan, demi pembangunan rakyat.

Menurutnya, Anwar membangkitkan isu asas, seperti integriti dan kesejahteraan rakyat, manakala Najib memfokuskan kepada pendekatan transformasinya terhadap tadbir urus.

“Kalau dilihat Najib lebih kepada idea pembangunan seperti ayahnya, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang membuka FELDA sehingga berjaya.

“Anwar pula lebih menekankan kepada audit forensik di mana mereka mahukan kejujuran dan ketirisan dalam membuat keputusan. Perkara itu penting, kalau tidak dijaga ia akan merugikan negara.

“Kita boleh lihat bagaimana negara Eropah yang ketat dalam menjaga amalan rasuah daripada berlaku menjadikan negara mereka maju, disebabkan mempunyai wang lebih untuk melakukan pembangunan,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi, hari ini.

Dr Junaidi Awang Besar
Dr Junaidi Awang Besar

Junaidi berpandangan, rakyat yang sebenarnya mendapat keuntungan dan dilihat sebagai ‘pemenang’ pada program tersebut kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk membuat penilaian mengenai isu dibangkitkan, secara langsung dan terus.

Pada masa sama, beliau berkata, tempoh satu jam setengah diperuntukkan untuk sesi debat itu, memaparkan kedua-dua pemimpin terbabit lebih memberikan fokus untuk berhujah mengenai isu berkaitan pengurusan ekonomi, berdasarkan perspektif masing-masing.

“Kedua-dua pemimpin mempunyai idea dan kombinasi baik cuma akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan dan penilaian pada pilihan raya nanti. Kalau dilihat, mereka berdua mempunyai kelebihan dan masing-masing pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

“Mereka pasangan menarik, pendekatan hujah berbeza tetapi meyakinkan, jadi kalau mahu pilih salah satu, itu terpulang kepada rakyat untuk menilai,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidi yang juga Pensyarah Geografi Pilihan Raya UKM berkata, gabungan idea daripada kedua pemimpin itu mampu menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan mampu mencapai status negara maju.

“Kita tidak mahu lagi politik gaya lama di mana bila pilihan raya sahaja semua senyap. Dapat gaji tinggi, namun rakyat tak dapat apa-apa. Jadi, kita nak tengok idea yang dapat membangunkan negara.

“Idea pembangunan Najib dan nilai integriti Anwar jika diambil serius pihak kerajaan, negara mampu mencapai negara maju serta rakyat berfikiran kelas pertama.

“Kerajaan mahupun pembangkang dari segi idea ini bagus, namun pelaksanaan itu mereka buat atau tidak. Sebab itu, ada timbul istilah janji harus ditepati. Pembangunan ini tak boleh tengok setakat 22 bulan sahaja, namun kena tengok lima atau 10 tahun, barulah nampak impaknya terhadap negara dan rakyat,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 400 orang hadir mengikuti debat berkenaan di MATIC, termasuk Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang, anggota parti, ahli akademik, pengamal media dan orang ramai.

Menariknya, laungan ‘reformasi’ kedengaran di dalam dewan ketika ketibaan Najib dan Anwar yang menimbulkan ‘ketegangan’ sehingga pengacara terpaksa mengingatkan penyokong kedua-dua pemimpin bahawa program itu perlu disemarakkan dalam suasana senyap tanpa laungan, sorakan atau tepukan.

Menerusi Debat Perdana yang berlangsung selama 90 minit itu, Anwar pada sebahagian masa menekankan punca dan keperluan untuk ketelusan serta lebih akauntabiliti, sementara Najib cuba membentangkan penyelesaian kepada masalah ekonomi negara.

Walaupun syarikat minyak dan gas yang bermasalah, Sapura Energy Berhad (SEB) menjadi topik tumpuan utama dalam segmen pertama debat, kebanyakan pengisian debat adalah mengenai pemulihan pasca COVID-19 negara, tadbir urus baik dan pembangunan negara.

Antara menarik perhatian ialah Anwar menolak cadangan Najib agar PETRONAS membeli SEB, sebaliknya mendesak audit forensik dilakukan dan penelitian lebih mendalam terhadap firma yang mempunyai masalah kewangan itu.

Debat tersebut dilaksanakan susulan perkara itu menjadi hangat menerusi media sosial sehingga kedua-dua figura politik itu bersetuju untuk mengadakannya dalam waktu terdekat.

Pada mulanya, ia timbul selepas berlakunya perseteruan membabitkan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Najib berkisarkan tentang perjuangan serta masalah kewangan Sapura Energy.

Rafizi kemudiannya mencetuskan cabaran untuk berdebat secara terbuka dan Najib kemudiannya bersetuju, namun meletakkan syarat debat itu diadakan dengan Anwar. - Getaran, 13 Mei 2022.

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Politik 22 jam yang lalu

PRK Mahkota: Kemenangan Besar Isyarat Jelas Retorik Pembangkang Tidak 'Berbisa'

Semasa 22 jam yang lalu

Malaysia Gesa Pelantikan Utusan Khas PBB Untuk Tangani Islamofobia, Seru Toleransi Global

Semasa 1 hari yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Semasa 1 hari yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang