KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Konvensyen Pilihanraya PKR membuktikan bahawa parti itu sudah bersiap siaga sepenuhnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim berkata, ini dibuktikan menerusi kehadiran lebih 3,000 ahli parti, yang menunjukkan PKR mempunyai komitmen penuh dari akar umbi dan bersedia turun untuk memenangi PRU-15.
Menurut beliau, permuafakatan akar umbi serta kepimpinan tertinggi PKR dilihat lebih utuh dan akan memberi kelebihan kepada jentera parti tersebut dalam menarik semula hati rakyat untuk mengundi Pakatan Harapan (PH).
“Secara spesifik, hampir semua parti utama mengadakan konvensyen, namun hanya PKR bercakap soal pilihan raya, isu rakyat serta menceritakan tentang persediaan menghadapi PRU-15.
“Sepertinya yang lain masih tersangkut pelbagai isu, contohnya UMNO masih mahu membicarakan isu pemenjaraan (mantan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak,” katanya ketika ditemui Getaran di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.
Jelas Adam, beliau mengharapkan pelaksanaan konvensyen tersebut mampu memberi semangat kepada jentera parti dalam memastikan siap siaga PKR dan Pakatan Harapan (PH) lebih kuat serta kukuh berbanding pihak lawan.
“Ini sebagai satu penambah semangat (moral boost) kekuatan parti ini. Ia menunjukkan komitmen penuh dari ahli yang bersedia turun untuk menang menjelang PRU-15 dan boleh lihat kebersamaan yang sangat baik.
“Perkara itu adalah tanda bahawa PKR bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pimpinan dan akar umbi untuk lebih ikhlas menyertai PKR, agar tiada lagi pengkhianatan dilakukan sehingga mampu menumbangkan parti tersebut serta Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, prinsip tersebut perlu dipraktikkan agar jiwa serta amanah mampu dipelihara dan mampu memberikan khidmat terbaik kepada bangsa serta negara.
Menurut beliau, pemimpin rosak yang hanya memikirkan habuan dirinya atau individu terlibat dalam kes mahkamah tidak seharusnya wujud dalam PKR.
Anwar juga menggesa setiap ahli PKR memperkasa konsep berbilang bangsa yang diamalkan parti tersebut agar ia lebih kukuh dan sentiasa bergerak bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pendapat senada disuarakan oleh Ketua Wanita PKR, Senator Fadhlina Sidek yang berkata, aura positif perlu diwujudkan dalam jentera serta akar umbi sebagai tanda parti sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita dapat mendengar ada lima pembahas bercakap soal dan isu yang dekat di hati rakyat. Pada masa sama, kita ada barisan arahan kepimpinan (direction line of command), kita ada presiden dan timbalan presiden yang mengetuai jabatan pilihan raya.
“Arahan juga sudah mula dikeluarkan agar ahli parti bekerja di kawasan masing-masing. Mesej yang jelas disampaikan untuk memastikan kemenangan dan seterusnya menjadi kerajaan,” katanya. - Getaran, 27 Ogos 2022