KUALA LUMPUR - Tindakan sebahagian pemimpin UMNO mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat disifatkan sebagai kezaliman terhadap rakyat yang disengajakan demi kepentingan peribadi.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin berkata, desakan tidak bertanggungjawab itu juga akan menyebabkan kerajaan harus menanggung kerugian besar berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam suasana mendesak dan tergesa-gesa.
“IKRAM memandang serius ura-ura bagi membubarkan Parlimen pada waktu terdekat dengan ramalan banjir yang bakal melanda negara pada akhir tahun dan awal tahun hadapan. Tindakan itu pada ketika ini adalah tidak bertanggungjawab.
“Melaksanakan PRU-15 ketika rakyat sedang bergelut dengan banjir adalah satu kezaliman yang disengajakan kepada rakyat, malah kerajaan juga akan menanggung kerugian besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, kira-kira jam 4.45 petang tadi.
Sesi pertemuan itu mendapat perhatian berikutan spekulasi beliau mahu memohon perkenan pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada PRU-15 diadakan.
Ismail Sabri dipercayai turut menyentuh mengenai Bajet 2023 dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong sebelum pembentangannya di Dewan Rakyat, petang esok.
Khabar angin mengatakan pertemuan itu dilakukan bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.
Mengulas lanjut, Badlishah berkata, pihaknya berpandangan kerajaan seharusnya memberi tumpuan menyelesaikan permasalahan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit (RM) khususnya berkaitan kenaikan mendadak kos sara hidup yang membebankan rakyat.
“Pilihan raya umum adalah satu amalan demokrasi yang amat penting bagi negara serta melibatkan semua rakyat yang layak mengundi.
“Tindakan membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa adalah tidak wajar sama sekali. Kepentingan rakyat dan negara perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan,” katanya.
Sementara itu, Badlishah menggesa kerajaan agar meluluskan Akta Pendanaan Politik sebelum (PRU-15) diadakan.
Jelasnya, terdapat keperluan agar pendapatan dan perbelanjaan semasa pilihan raya umum dapat dipantau dengan tersusun dan mengelakkan gejala rasuah.
“IKRAM menyambut baik penguatkuasaan pindaan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti (Akta A1663) yang bermula pada 5 Oktober 2022, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya. - Getaran, 6 Oktober 2022