KUALA LUMPUR - Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang secara terbuka menentang keputusan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggap sengaja mahukan diri mereka dipecat, untuk bergerak sebagai wakil Bebas.
Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pemecatan itu juga membolehkan golongan terbabit menyokong calon Perdana Menteri yang bukan berada di bawah dukungan BN.
Menurut beliau, kesemua Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada Zahid untuk menentukan sebarang gabungan politik bagi menubuhkan kerajaan.
“Dalam kenyataan semalam, Pengerusi BN juga menegaskan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan dilepaskan keahlian termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang Anti Lompat Parti,” katanya kepada Getaran di sini hari ini.
Nur Jazlan yang tewas dalam usaha merebut kerusi Parlimen Pulai menegaskan, semua wakil rakyat BN khususnya yang mendesak Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden parti perlu berhenti daripada terus bermain politik kotor dan memanipulasi ahli, termasuk rakyat yang telah mengundi pada PRU-15.
“Saya juga mendesak Ahli-Ahli Parlimen BN ini supaya meletak jawatan sekiranya ikhlas dalam perjuangan politik mereka, dan demi kepentingan dan hala tuju UMNO serta Barisan Nasional.
“Saya sendiri telah menandatangani akujanji yang sama bahawa kerusi yang dimenangi adalah milik parti dan bukan individu.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa mereka yang terpilih kerana BN juga belum sah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Zahid dan barisan kepemimpinan tinggi BN mengadakan pertemuan bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) di ibu negara, pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan penggabungan PH dan BH untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Langkah itu kemudiannya mendapat bantahan sejumlah besar ahli UMNO, termasuk mantan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong. - Getaran, 21 November 2022