KUALA LUMPUR — Enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula secara rasmi hari ini, sebaik sahaja pusat penamaan calon di 173 lokasi dibuka pada jam 9 pagi tadi.
Ia melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan diraih calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu.
Penamaan calon hari ini juga menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos depan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kesemua calon Bebas dan yang mewakili Parti yang bertanding diberi tempoh sehingga jam 10 pagi hari ini untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus di pusat ditetapkan.
Setakat jam 7.30 pagi ini, tinjauan Getaran di beberapa kerusi panas di Selangor mendapati keadaan masih terkawal walaupun ada kumpulan yang sudah memulakan aktiviti seawal jam 5 pagi tadi.
Penyokong Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Gombak misalnya mula berhimpun seawal jam 5.40 pagi di Masjid As-Shariff, Simpang Tiga, Gombak.
Aktiviti mereka diteruskan dengan menunaikan solat Subuh, solat Hajat dan Munajat secara berjemaah, sebelum bersarapan pada jam 6.45 pagi.
Jurucakap PN dalam satu hebahan malam tadi memberitahu, Pengerusi blok itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, calon bagi kerusi DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang serta beberapa tetamu kenamaan lain dijadualkan tiba ditetapkan iaitu di Lemang Lerek di Greenwood pada jam 7.30 pagi.
“Perarakan ke Pusat Penamaan Calon dijadualkan bermula pada jam 8 pagi,” katanya.
Parlimen Gombak dijangka hangat kerana memiliki sekurang-kurangnya dua kerusi panas iaitu DUN Sungai Tua dan Hulu Kelang.
DUN Sungai Tua menyaksikan kehadiran mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang bakal mempertahan kerusi dimenanginya sejak 2018 itu.
DUN Hulu Kelang pula akan membariskan Setiausaha Politik Amirudin, Juwairiya Zulkifli.
Beliau bakal dicabar seorang lagi mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut statistik SPR, Kelantan yang memiliki 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun, diikuti 56 kerusi DUN Selangor keesokannya.
Pulau Pinang dengan 40 kerusi DUN, Kedah (36 DUN) dan Terengganu (23 DUN) dibubarkan pada hari sama iaitu 28 Jun.
Negeri Sembilan (36 DUN) ialah negeri terakhir dibubarkan iaitu pada 1 Julai lalu. — Getaran, 29 Julai 2023