Dipicu oleh pandemik COVID-19, trend perletakan jawatan secara besar-besaran telah berlaku di Malaysia sejak dua tahun lalu dan dijangka akan meningkat pada tahun 2022.
Terdapat gelombang perletakan jawatan dengan 45% pekerja tidak melanjutkan pekerjaan mereka tidak lebih daripada dua tahun dan 82% pekerja mencari prospek kerjaya yang baharu.
Firma pengambilan pekerja, Michael Page Malaysia (MPM) telah melancarkan satu laporan tentang trend pekerja yang bertajuk The Great X
Ia menampilkan dapatan pandangan, perspektif dan faktor utama yang mempengaruhi bidang pekerjaan masa kini.
Sementara gaji dan bonus masih menjadi daya penarik untuk seseorang pekerja, laporan menunjukkan perubahan yang ketara ke arah hal-hal yang bukan melibatkan kewangan.
Seramai 65% responden di Malaysia bersedia untuk ‘melepaskan’ kenaikan gaji atau pangkat bagi mencapai keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan, kesejahteraan dan kegembiraan.
Pengarah Urusan MPM, Nic Chambers berkata, “Penggunaan teknologi dan cara bekerja baharu memperlihatkan pentingnya ‘melabur’ untuk pekerja.
“Ia mampu meningkatkan kemahiran mereka agar boleh membantu mengisi jurang kemahiran sedia ada. Sifat kepimpinan yang baik ialah transformasi.
“Membuka ruang kepada pandangan pekerja-pekerja generasi baharu bermakna sesebuah syarikat berjaya menerima budaya kerja yang berbeza,” ujar Nic.
Seiring sektor ekonomi yang bertambah baik juga, syarikat-syarikat tidak seharusnya memandang rendah akan kesan psikologi yang telah dialami pekerja.
Akibat amalan penggabungan antara ‘kerja’ dan ‘peribadi’ yang berlaku sepanjang dua tahun lalu, 66% responden menginginkan susunan kerja hibrid iaitu antara bekerja dari rumah atau pejabat.
Selain itu, 67% golongan profesional di Malaysia akan mempertimbangkan untuk bertanya tentang dasar kepelbagaian, kesetaraan dan keterangkuman syarikat semasa sesi temu duga.
36% pula mengatakan komitmen syarikat yang kurang jelas tentang dasar-dasar kemanusiaan itu hanya akan menghentikan niat mereka untuk terus bekerja.
Pandemik juga telah mengubah beberapa keutamaan, 76% responden percaya kesihatan mental dan kesejahteraan harus memainkan peranan penting dalam borang penilaian prestasi pekerja.
Syarikat turut disarankan untuk mewujudkan budaya kerja positif, di mana semua pekerja di semua peringkat organisasi perlu berasa dihargai.
Ini kerana sebilangan besar pekerja didapati tidak merasa disokong di tempat kerja. 55% responden mengatakan beban kerja mereka telah meningkat berbanding sebelum COVID-19.
82% responden percaya syarikat mereka tidak mengambil langkah aktif bagi memastikan kesimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.
Syarikat perlu mengubah beberapa perkara dan cara lama bagi membantu para pekerja bekerja dengan lebih cekap dan efisien. – Getaran, 29 Julai 2022
Sumber: Michael Page Malaysia