KOTA KINABALU - Mantan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Mohd Hashim Dandai meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat jangkitan COVID-19, di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, di sini, pagi tadi.
Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.30 pagi selepas 12 hari menerima rawatan di hospital sama.
Jenazah dijangka dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negeri Sabah, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Sebelum ini, anak Allahyarham, Datuk Seri Nasir Sakaran memaklumkan, bapanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Selasa lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sakaran pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-8 pada tahun 1994 sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Ke-8 setahun kemudian.
Beliau yang meninggalkan seorang isteri dan 12 orang anak, juga merupakan bapa saudara kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Getaran, 30 Ogos 2021