KUALA LUMPUR - Beroperasi sejak lima bulan lalu, pasangan kekasih yang aktif menghasilkan biskut dan kek berasaskan ganja untuk pasaran Lembah Klang akhirnya tumpas juga dicekup pihak berkuasa.
Pasangan kekasih warga tempatan berusia 28 dan 34 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pudu dan Petaling Jaya, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Sahar Abd Latif berkata, Op Storm yang dilancarkan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki ketika berada di dalam kereta Honda City di hadapan lobi sebuah residensi di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada jam 3.50 petang.
Menurut beliau, penahanan itu membawa kepada rampasan dua kotak dan satu beg kertas mengandungi 25 balang biskut berasaskan ganja seberat 7.35 kilogram (kg) dan 53 biji kek juga berasaskan dadah itu seberat 5.3 kg.
“Susulan penahanan, polis melakukan serbuan kedua di sebuah residensi di PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya pada hari sama.
“Hasil serbuan itu, kita berjaya menahan seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun dan merampas 131 balang biskut berasaskan ganja seberat 35.9 kg dan 41 kek berasaskan ganja seberat 4.3 kg,” katanya di sini.
Sahar berkata, polis turut merampas lapan ketulan mampat ganja seberat 7.82 kg, empat periuk berisi cecair ganja seberat 31 kg, dua ketuhar elektrik dan satu mesin pengadun dan peralatan membuat kek serta biskut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek adalah pasangan kekasih yang menjadikan kediaman mereka sebagai tempat memproses kek dan biskut menggunakan dadah terlarang itu.
Kediaman itu yang disewa dengan kadar RM3,000 sebulan sejak lapan bulan lalu, aktif menjalankan kegiatan penghasilan dan pengedaran biskut serta kek berasaskan ganja di sekitar Lembah Klang.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah jenis kanabis dan seterusnya memproses sendiri dadah itu untuk dicampur sebagai bahan mentah kek dan biskut.
“Produk terbabit kemudian dipasarkan dengan harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 bagi satu biji atau 100 gram kek dan pelanggan mereka terdiri daripada kenalan rapat suspek pertama di dalam media sosial Instagram,” katanya.
Sahar berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan adalah 156 balang biskut berasaskan ganja dianggarkan seberat 43.2 kg, 94 biji kek berasaskan ganja (9.6 kg) dan lapan ketulan mampat ganja (9.6 kg) serta 31 kg cecair ganja dengan nilai keseluruhan RM229,299.
“Kita turut merampas wang tunai RM11,790 dan sebuah kenderaan jenis BMW X3 bernilai RM250,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM491,089,” katanya lagi.
Hasil ujian saringan awal air kencing pula, didapati suspek pertama positif dadah jenis ganja, manakala teman wanitanya didapati negatif dadah.
“Suspek pertama ditahan reman enam hari bermula semalam hingga 13 September ini manakala suspek wanita direman tujuh hari hingga 14 September ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. - Getaran, 10 September 2021