KUALA LUMPUR - Penduduk di Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan air berjadual bermula esok, dinasihatkan supaya tidak panik dengan ketiadaan air bagi tempoh beberapa hari.
Ahli Suruhanjaya Pengurusan Air Negara, (SPAN), Shahir Adnan berkata, gangguan bekalan air berjadual terbabit sudah pun dirancang dengan rapi oleh pihak operator iaitu Air Selangor demi keselesaan pengguna di masa depan.
Menurutnya, Air Selangor telah memaklumkan mengenai pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1)
“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula pukul 9 pagi hari esok dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober.
“Kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020, berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.
“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan SPAN bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” katanya.
Shahir berkata, semua pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan ia secara berhemah sehingga bekalan sumber itu kembali pulih.
“Orang ramai juga diminta untuk mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual itu dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau dengan menghubungi Air Selangor di talian 15300. Untuk sebarang maklumat mengenai perkhidmatan air di negara kita, bolehlah mengemukakan cadangan atau aduan kepada aduan@span.gov.my.
“Maklumat semasa juga boleh didapati menerusi semua saluran komunikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Forum Air (Wira Air) termasuk Twitter, Facebook, Instagram,” katanya. - Getaran, 12 Oktober 2021