BERA - Individu yang menolak untuk mengambil vaksin atau tidak melengkapkan dos sepatutnya hanya menyusahkan diri sendiri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tegas beliau, kerajaan sama sekali tidak akan menyusahkan rakyat, melainkan jika mereka sendiri memutuskan untuk berbuat demikian atas diri sendiri.
Perdana Menteri berkata, kenyataan dibuat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam mungkin disalah anggap pihak tertentu hingga menimbulkan banyak persoalan.
“Mereka yang tidak ada vaksin tidak ada kemudahan berbanding mereka yang sudah ada (lengkap) vaksin. Mereka yang tidak divaksin ini tidak dibenarkan rentas negeri sebagai contoh, orang lain yang sudah lengkap vaksin boleh (rentas negeri) jumpa ibu bapa mereka di kampung.
“Begitu juga dengan kemudahan lain seperti umrah dan tahun depan pula ibadah haji. Syarat untuk (menunaikan) umrah dan haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu lengkap dua dos, kalau tidak, mereka tidak boleh ke sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, itu adalah bentuk kesusahan yang mungkin dimaksudkan Khairy.
“Itu (kesusahan) yang mungkin ‘kesusahan’ dimaksudkan YB KJ (Khairy Jamaluddin), bukannya kerajaan yang akan susahkan mereka atau sengaja nak menyusahkan mereka (yang belum divaksin) dan tidak perlulah sampai memaksa semua rakyat menerima vaksin, sepatutnya ia adalah atas kesedaran sendiri,” katanya.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Semalam, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kumpulan anti vaksin kemungkinan terpaksa berdepan kehidupan yang sukar, kerana tidak akan dibenarkan menikmati kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi secara berterusan.
Beliau juga dengan tegas berkata, kerajaan akan ‘menyusahkan’ kumpulan tersebut yang terus enggan divaksin tanpa sebab.
“Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup anda (golongan anti vaksin).
“Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. Bagaimanapun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kerajaan mewajibkan semua penjawat awam, termasuk mereka yang bakal menyertai perkhidmatan awam menerima vaksin, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan ditentukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Bagi penjawat awam yang sedang berkhidmat, arahan sudah dikeluarkan KPPA sebelum ini dan mereka semua perlu menerima vaksin sebelum 1 November ini.
“Mengenai pengambilan baharu, itu kita akan tengok dari segi perundangan dan jika ingkar, mereka boleh diambil tindakan bersesuaian dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. - Getaran, 17 Oktober 2021