TAWAU - Pembukaan semula pintu sempadan daerah ternyata dimanfaatkan sepenuhnya penduduk setempat, bukan sahaja untuk pulang ke kampung atau bercuti, tetapi turut melawat insan tersayang yang telah pergi buat selamanya.
Bagi sebahagian penduduk, inilah waktu yang paling dinanti bagi mengubat rindu, selain memastikan ‘kediaman’ insan yang disayangi itu sentiasa bersih dan selesa.
Penularan wabak COVID-19 sejak Mac 2020 itu menyebabkan aktiviti menziarahi pusara tidak lagi dapat dilakukan, termasuk pada musim perayaan Aidilfitri atau Aidiladha.
Meskipun ada kelonggaran yang diberikan, namun tidak semua berkesempatan pulang dapat ekoran pelaksanaan sekatan merentas negeri dan daerah.
Bagi Sitti Zubaedah Md Kassim, 41, kali akhir dia menziarahi kubur ibu dan ayahnya adalah pada Mac tahun lalu, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dia yang berkhidmat di Lahad Datu mengambil peluang ini untuk kembali ke daerah Tawau bersama abangnya yang sebelum ini terkandas di Selangor bagi menziarahi pusara kedua orang tua.
“Perasaan saya bercampur baur, saya sedih tapi dalam masa yang sama gembira kerana dapat melawat ibu dan bapa meskipun dalam suasana yang berbeza,” jelasnya.
Sementara itu, penjaga tanah perkuburan di sini mengakui bilangan pengunjung bertambah sejak dua hari ini.
Dia yang enggan dikenali berkata, pengunjung dilihat meluangkan masa membaca ayat suci selain membersihkan kawasan perkuburan yang mula ditumbuhi semak samun.
Katanya, sebelum pelaksanaan PKP, tugas menjaga kebersihan dilakukan beliau sendiri sebaik yang mungkin.
“Saya gembira melihat mereka dapat mengubati kerinduan kepada insan yang sudah pergi, namun pada masa pengunjung turut diingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya tidak berlaku penularan kes, sekali gus menyebabkan kawasan ini ditutup,” katanya. - Getaran, 17 Oktober 2021