SARIKEI - Terperangkap dalam arus deras dan hampir hanyut menjadi pengalaman ngeri bagi seorang lelaki ketika meredah banjir untuk turun bekerja awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, Khareenx Jimong, 25, dari rumah Rabong, Nanga Strass, Bintangor, di sini, keluar bekerja bersama bapanya.
Menurutnya, mereka mengharungi sungai Nanga Strass yang dinaiki air hingga paras pinggang dengan berjalan kaki ke seberang sungai tempat kenderaan diletakkan.
“Tiba-tiba arus sungai berubah deras, tapi bapa sempat berenang hingga ke tepi manakala saya dihanyutkan.
“Mujur saya sempat berpaut pada sebatang pokok besar di tepi sungai dan tidak lemas,” katanya kepada Getaran hari ini.
Katanya, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian yang hampir meragut nyawanya.
“Sejurus selepas itu, bapa terus menghubungi pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor bagi mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua BBP Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 7.12 pagi.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati terkandas pada sebatang pokok akibat banjir, dengan arus yang sangat deras.
“Pasukan bomba lengkap dengan jaket keselamatan menggunakan tali untuk menyelamatkan mangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan mangsa. - Getaran, 10 November 2021