JASIN - “Setiap kali mahu menagih undi kami, barulah nampak batang hidung di kampung ini,” kata Tok Batin Kampung Orang Asli Air Dusun Tebong, Machap Jaya, Melaka, Ahmad Salleh.
Itulah luahan Ahmad, 62, yang serik dengan permainan ahli politik, menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum Orang Asli Temuan di perkampungan berkenaan setiap kali menjelang pilihan raya di Melaka.
Bagaimanapun dia mengakui, kehadiran calon wakil rakyat baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit adalah kesempatan terbaik untuk membuat permohonan berhubung isu kemaslahatan Orang Asli di kampungnya.
Katanya, antara isu yang dibangkitkan ketika kehadiran calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN tersebut adalah masalah perparitan dan perumahan yang sekian lama membelenggu kehidupan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.
“Masalah perparitan di kampung ini sebenarnya sudah berlarutan terlalu lama, namun tidak pernah diselesaikan walaupun berkali-kali permohonan dilakukan kepada pihak berwajib.
“Disebabkan ketiadaan saliran perparitan yang sempurna, kampung kami kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat, justeru ia adalah satu keperluan yang amat penting kepada kami,” katanya ketika ditemui Getaran, semalam.
Ahmad berkata, ketika kampungnya didatangi calon ADUN yang mahu berkempen, beliau terpaksa menggertak untuk tidak mahu keluar mengundi bagi membolehkan masalah itu diselesaikan secepat mungkin.
“Saya bagi tahu mereka, kalau masalah longkang ini tidak diselesaikan, kami tak mahu keluar mengundi. Sampai terpaksa gertak begitu barulah masalah ini selesai.
“Longkang ini banyak kepentingannya, jika tiada air mengalir pelbagai masalah akan berlaku termasuklah demam denggi, banjir dan sebagainya,” katanya.
Ketika Getaran tiba di perkampungan Orang Asli itu, kerja-kerja pembersihan dan penambahan saliran longkang sedang giat dijalankan oleh kontraktor yang ditugaskan oleh sebuah parti politik.
Selain masalah sistem perparitan yang tidak sempurna, enam keluarga Orang Asli di kampung berkenaan juga masih lagi tidak mempunyai rumah sendiri hingga terpaksa bersesak di kediaman kecil ahli keluarga yang lain.
Jamil Baloi, 28, bapa kepada dua cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun terpaksa menjalani kehidupan amat daif disebabkan tiada rumah sendiri walaupun sudah memohon sejak beberapa tahun lalu.
“Tengoklah rumah ini, mohon dekat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah berapa tahun tak dapat-dapat, dia cakap bajet tak ada, bajet kurang macam itulah alasan mereka,” katanya.
Disebabkan keluarganya semakin membesar, dia terpaksa membina pondok kayu seluas sekangkang kera yang amat daif, untuk dijadikan tempat berteduh mereka sekeluarga daripada berpanas dan berhujan.
“JAKOA tolonglah, saya ini orang miskin, daripada dulu mohon rumah tapi tak dapat,” rayunya. - Getaran, 16 November 2021