KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta (PASPMA) menggesa kerajaan segera membawa masuk pekerja asing bagi memenuhi kehendak industri, khususnya perladangan dan pertanian yang kini tenat tanpa tenaga buruh itu, sehingga memudaratkan ekonomi negara.
Presiden PASPMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, Malaysia sememangnya kekurangan tenaga buruh asing selepas 1.7 juta pekerja terbabit pulang ke negara asal mereka, seperti diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut beliau, ia membuktikan keperluan untuk negara membawa buruh asing dengan segera, khususnya di sektor perladangan, pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan 3D (Dangerous, Difficult & Dirty).
“Dengan pertumbuhan ekonomi pesat kini selepas pandemik COVID-19, Malaysia memerlukan anjakan drastik untuk setanding dengan negara jiran, khususnya Indonesia yang mempunyai komoditi hampir sama dengan negara kita.
“Malah, Indonesia ketika ini menjadi negara pesaing utama Malaysia di rantau Asia Tenggara.
“Sektor ekonomi yang paling terjejas adalah perladangan dan menurut kenyataan MPOA (Persatuan Minyak Sawit Malaysia) pada bulan Februari 2022, sebanyak RM1 bilion hilang setiap hari di negara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung PASPMA, Dr N Sukumaran.
Megat Fairouz Junaidi berkata, hal tersebut berlaku disebabkan buah sawit tidak dapat dituai mengikut masa sepatutnya akibat kekurangan pekerja asing sejak tiga tahun lalu.
Ekoran daripada masalah tersebut, katanya, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport buah dan minyak kelapa sawit di persada antarabangsa turun, sekali gus menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit.
“Justeru, ramai pekebun kecil Bumiputra mengalami kerugian amat besar kerana kekurangan pekerja yang sesuai untuk menjalankan aktiviti memotong dan mengutip buah kelapa sawit.
“Sektor lain turut mengalami kerugian amat ketara kerana kekurangan pekerja, khususnya sektor tidak diminati tenaga buruh tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Megat Fairouz Junaidi berkata, PAPSMA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melonggarkan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh, membabitkan semua ahli Pertubuhan Ejen Rekrutmen Antarabangsa Bangladesh (BAIRA).
Menurut beliau, PAPSMA tidak lagi berkeinginan untuk kembali ke era tahun 2015 hingga 2017 yang menyaksikan pemilihan 10 agensi pekerjaan Bangladesh menyebabkan banyak masalah dan kerumitan, sehingga kerajaan Malaysia terpaksa membatalkan kemasukan pekerja dari negara berkenaan ke sini pada 2017.
Beliau berkata, antara dikenalpasti adalah pekerja Bangladesh dikenakan kos kemasukan tinggi ke Malaysia sehingga mencecah RM20,000, walaupun pada awalnya kerajaan dan pekerja diberitahu bahawa ia adalah rendah, sekali gus menyaksikan agensi dari negara berkenaan mengaut untung besar.
“Apabila pekerja sampai ke Malaysia, mereka melarikan diri dari majikan sah kerana tak dapat membayar kos hutang dari negara mereka untuk bekerja di Malaysia.
“Ini menyebabkan ramai majikan membayar kos levi dan perbelanjaan lain, mengalami kerugian besar akibat keputusan dibuat kerajaan kita ketika itu.
“Agensi dipilih ini juga perlu mengutip wang dari pekerja bagi memenuhi kehendak orang kenamaan tertentu bagi tujuan melobi dalam perniagaan mengimport manusia,” katanya.
Pada masa sama, Megat Fairouz Junaidi berkata, tindakan seperti itu merosakkan nama Malaysia yang kini berada di kedudukan ketiga dalam kategori Migran Buruh Paksa ILO antarabangsa dan boleh menjejaskan identiti serta imej negara di mata dunia.
“Kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan industri di Malaysia mengalami kerugian, protes dari negara luar dan didenda berjuta ringgit kerana didapati bersalah di bawah ordinan buruh paksa dan kutipan wang dari pekerja asing di negara asal, sebelum kemasukan mereka ke negara kita.
“Agensi terbabit pada era 2015 hingga 2017, kini dilihat semula berada dalam kategori agensi pekerja asing dan dijangka dipilih Malaysia untuk tujuan pengrekrutan pekerja Bangladesh ke Malaysia,” katanya. - Getaran, 6 Jun 2022.