KUALA LUMPUR - Kebanjiran rokok haram di Malaysia berpunca daripada kesilapan percaturan kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri pada 2015.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Najib yang ketika itu turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan telah menaikkan cukai terlalu tinggi untuk rokok sah iaitu sebanyak 36 peratus.
“Akibatnya, harga rokok sah meningkat mendadak tapi pendapatan kerajaan tak naik pun sebab perokok berpindah ke rokok haram yang tak dapat dicukai.
“Bila ambil langkah silap kepada rokok sah, terus Malaysia jadi negara yang mempunyai rokok haram paling tinggi di dunia,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan kesilapan tersebut tidak berulang sekiranya pentadbir benar-benar serius untuk menyekat kemasukan atau penggunaan rokok haram dan menjaga kesihatan rakyat.
Kesilapan itu sekiranya masih berlaku jelasnya, akan menggembirakan kumpulan penyeludup kerana berpeluang membawa masuk lebih banyak rokok haram pada harga yang murah.
“Saya dengar kerajaan ada cita-cita nak kenakan sekatan baharu pula kepada rokok sah melalui Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau.
"Usaha menurunkan bilangan perokok adalah baik dan mesti disokong tapi mengenakan sekatan tambahan baharu kepada rokok sah hanya mengulangi kesilapan dulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan membanteras sepenuhnya kebanjiran rokok haram dalam negara.
Katanya, langkah itu merupakan satu daripada mekanisme untuk menambah pendapatan negara agar kelestarian subsidi dan bantuan diperlukan rakyat dapat dipulangkan semula.
"Ia antara cadangan quick win untuk menambahkan pendapatan daripada cukai rokok sah. Negara ketika ini kerugian antara RM5 ke RM6 bilion setahun disebabkan rokok haram yang tidak dikenakan cukai. Ini satu jumlah besar yang boleh diguna untuk pelbagai perkara oleh kerajaan.
“Kalau dikawal dengan efektif, ia (boleh) menjadi serampang dua mata. Kita boleh menjaga kesihatan rakyat dengan menghapuskan rokok haram dan dapat menambah pendapatan negara melalui cukai rokok yang sah,” katanya.
Beliau turut menggesa penguatkuasaan diperketat di sempadan negara, memandangkan ia terlalu mudah dibolosi sehingga membawa kepada lambakan rokok haram di pasaran.
“Kelemahan itu begitu ketara sehinggakan pada 2020, 64 peratus rokok di pasaran terdiri daripada rokok haram.
“Kadar itu mula menurun kepada 59 peratus pada Mac tahun ini, apabila Kementerian Kewangan mengetatkan kawal selia muatan rokok dan mengaktifkan pasukan petugas khas pelbagai agensi, sekali gus membawa kepada peningkatan kadar cukai,” katanya. – Getaran, 7 Julai 2022