KUALA LUMPUR - Gaji terlalu rendah dan tiada ruang untuk individu berkemahiran tinggi serta berbakat menceburi bidang profesional tempatan, menjadi punca mereka membuat keputusan menyeberangi sempadan Malaysia untuk bekerja di luar negara.
Pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kerenah birokrasi yang tidak menghargai golongan itu sehingga seolah-olah menjadi bebanan kepada negara, menyebabkan mereka ‘lari’.
Menurut beliau, perkara itu mengakibatkan kerugian kepada negara memandangkan golongan berkemahiran tinggi adalah aset paling bernilai buat Malaysia kerana pengalaman dan pandangan mereka mampu merancakkan pembangunan tempatan.
“Saya rasa mereka pasti akan balik dan suka mahu menyumbang kepada negara, namun gaji (di Malaysia) tidak setimpal dengan pengalaman serta kepakaran. Kita kena hargai mereka, jangan gajikan mereka RM3,000 ke RM4,000, cuba bagi lebih sikit sehingga RM7,000.
“Dengan itu, mereka akan selesa sedikit di Malaysia dan mampu membeli rumah setaraf dengan kedudukan mereka. Dengan gaji dan keselesaan diterima, mereka boleh menyumbang serta fokus dengan kerja mereka,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai Malaysia sudah kehilangan kira-kira 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional.
Keadaan berlaku sejak puluhan tahun lalu itu, selepas mereka memilih untuk bekerja di luar negara.
Lantaran itu, Abu Sofian berpandangan, terdapat keperluan buat kerajaan mewujudkan saluran menerusi agensi kerajaan mahupun kementerian, agar rakyat berkemahiran tinggi dapat menghujahkan idea serta pendapat mereka dalam memajukan Malaysia.
“Mungkin dalam kementerian atau agensi itu ada orang lama, namun dari segi inovasi kena bagi kepada golongan profesional kerana mereka sudah didedahkan di negara maju dengan fasiliti dan suasana lebih baik.
“Bukan nak melebihkan mereka ini, namun jangan ego agar ada tempat untuk mereka menyumbang kepada Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan perlu mewujudkan agensi pusat (centre agency) yang mampu berfungsi seperti ‘pangkalan data’ agar kerajaan mampu melihat pandangan diuar-uarkan mereka dikaji dan mengimplikasikannya di setiap kementerian.
“Namun, semua ini tiada dan sebab itu tidak ada siapa ingin berdaya maju nak kerja di Malaysia. Malah, ada pandang enteng dengan kepakaran dan pengalaman mereka ada. Sepatutnya kita berkawan dengan mereka agar boleh menyumbang, menolong dan membangunkan diri serta minda.
“Birokrasi memang teruk di Malaysia. Contoh, kalau ada idea untuk dibentang kepada kerajaan, ia susah mendapat kelulusan, selain tiada sokongan dari agensi untuk menyumbang dan boleh diketengahkan. Malah, kadang-kadang idea mereka dicuri orang. Idea sama cuma tukar tajuk sahaja,” katanya.
Seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penting untuk memastikan kerjasama dari kerajaan dan swasta, bagi mengenal pasti serta melaksanakan segala penambahbaikan dalam bidang industri dan kerjaya kritikal demi pertumbuhan ekonomi negara.
Jelasnya, ia mungkin mengambil masa, namun komitmen berterusan adalah penting.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengkaji adakah jumlah 500,000 orang itu melebihi kadar purata global atau sebaliknya. Jika ianya melebihi purata global, isu ini harus diambil serius. Namun jika ianya di bawah purata global, masih lagi ada keperluan untuk mengkaji punca penghijrahan supaya jumlah itu boleh diturunkan.
“Mungkin agensi seperti TalentCorp (Talent Corporation Malaysia Bhd) mempunyai data ini apabila mereka melakukan usaha membawa rakyat Malaysia di luar negara untuk kembali bekerja di tanah air. TalentCorp harus bentangkan hasil dapatan mereka.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (PUSMA), Zarina Ismail senada dengan perkara itu yang mahu TalentCorp diperkasakan kembali kerajaan.
“Namun, entiti itu tidak berfungsi kerana beberapa tahun sebelum COVID-19, mereka menjadi sebahagian agensi yang bertindak memberi kelulusan kepada pekerja asing. Ada keperluan untuk tengok semula sebab apa ia ditubuhkan agar agensi itu berperanan sebaiknya dengan objektif dan dasar ditetapkan,” katanya.
Malah, beliau tidak menyangkal bahawa gaji ditawarkan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit di luar negara, menarik minat tenaga profesional dan berkemahiran mencari rezeki di ‘tempat orang’.
Pada masa sama, bagi pekerja kolar biru atau pekerja bawahan, beliau berkata, gaji dinikmati di negara luar adalah lebih tinggi berlipat kali ganda, berbanding gaji minimum RM1,500 di Malaysia, di samping penawaran kenaikan pangkat yang diteliti berdasarkan nilai pengalaman dimiliki.
“Dianggarkan, setahun Malaysia melahirkan 500,000 graduan dan sepatutnya peluang pekerjaan juga perlu diwujudkan dengan jumlah sebanyak itu. Ini perlu difikirkan, namun masih tak nampak. Ada keperluan juga fikir kenapa ramai menjadi penghantar makanan apabila terdapat antara mereka miliki ijazah, termasuk ijazah doktor falsafah (PhD).
“Malaysia sebagai negara maju juga banyak bergantung kepada gaji rendah. Sebagai contoh, sekiranya kilang di negara kita dah buat kilang membuat cip, kena berkembang menghasilkan laptop seperti negara lain, namun tidak apabila akan kekal membuat cip.
“Lebih kita risau, ada kilang yang melantik penyelia mereka terdiri daripada pekerja asing. Mengapa perkara itu berlaku dan ia menyebabkan ada rakyat yang berpendirian lebih baik kerja di negara lain,” katanya.
Sekiranya perkara ini masih dipandang sepi kerajaan, Zarina berkata, mungkin semakin ramai rakyat berhijrah ke luar negara, menyebabkan Malaysia bakal kehilangan lebih ramai tenaga pakar yang menjadi kerugian. - Getaran, 27 Julai 2022.