KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa tidak membisu dan mengheret segera pihak terlibat dalam salah laku perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke muka pengadilan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia disebabkan ‘skandal’ tersebut berlanjutan sejak 10 tahun lalu dan menjadi keutamaan untuk permasalahan tersebut dirungkai.
Beliau berpandangan, kerajaan perlu melakukan tindakan sewajarnya selepas melihat laporan penyiasatan dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang turut membabitkannya sebagai seorang daripada anggota jawatankuasa itu.
“Sekarang, laporan PAC sudah dibentang dan didedahkan. Lebih RM6 billion duit rakyat hangus untuk projek yang semasa pembayaran dibuat, pelan kapal pun tak siap! Bayangkan, pembayaran dibuat, pelan kapal masih belum siap.
“Saya mendesak, kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) hari ini, heretlah petualang berkenaan ke muka pengadilan.
“Tolong jangan kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada maklumat,” katanya menerusi kenyataan kepada Getaran, hari ini.
Bagaimanapun, beliau yakin bahawa Ismail Sabri tidak terlibat dalam skandal LCS yang mempunyai kekuatan untuk meneliti isu terbabit secara terperinci.
“Tolong jangan perbodohkan rakyat. SPRM ada maklumat, ada data. Perdana Menteri yang masih ada kuasa berbaki ini, sebelum bubar Parlimen, cuba sikit tunjuk ‘jantan’.
“Jangan bimbang, Perdana Menteri yang ada sekarang tidak terbabit. Orang lain, saya kurang pasti,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menegaskan, ahli jawatankuasa PAC sudah berusaha sebaiknya untuk membongkar penyelewengan yang berlaku walaupun terhad dan tidak mempunyai kuasa pendakwaan.
Ketua Pemuda PAS itu turut merakamkan tahniah kepada Pengerusi PAC, Wong Kah Woh kerana melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dalam memastikan siasatan kes berkenaan berjalan lancar.
“Rakan di dalam PAC saya boleh katakan sebaik mungkin secara professional memanggil seorang demi seorang saksi. Lawatan anggota PAC ke Lumut Perak pun sudah dibuat untuk meninjau isu ini secara dekat.
“Justeru, apabila PAC sudah membentangkan laporan penyiasatan berhubung isu ini, amat wajar kepada kerajaan menjalankan tindakan tegas dengan mengheret petualang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kajian daya maju (due deligence) dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan LCS TLDM, gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.
Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.
Perkara itu adalah antara sembilan rumusan diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.
Laporan itu turut membangkitkan reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM dipersetujui Menteri Pertahanan tetapi keputusan terbabit berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.
Jelas Kah Woh, pemilihan sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan negara seharusnya mengutamakan keperluan ‘end user’ (pengguna akhir), iaitu TLDM. - Getaran, 6 Ogos 2022