ALOR SETAR - Setiap kali mendengar siren polis, anak-anak kepada pasangan suami isteri, Kamarulnizam Ismail, 33, dan Noor Wahidah Abdullah, 33, pasti akan keluar dari rumah mereka yang terletak berdepan dengan pintu pagar Istana Anak Bukit, di sini.
Tujuan mereka cuma satu, menanti di tepi jalan utama bagi melambai kepada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah serta Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff setiap kali baginda berdua serta kerabat Diraja keluar dari pintu pagar istana tersebut.
Tanpa disangka, telatah comel lima beradik tersebut iaitu Noor Amani Diana, 11, Fahim Danial, 9, Nur Shuhada, 5, Muhamammad Kurayyim, 3, dan Nur Iman, 1, menarik perhatian baginda berdua yang berkenan mengurniakan coklat istimewa untuk dinikmati keluarga berkenaan, Sabtu lalu.
Menurut Noor Wahidah, mereka sekeluarga tidak menyangka baginda berdua sudi melayan keletah lima kanak-kanak berkenaan, yang sememangnya mengagumi pasangan diraja itu.
“Sejak setahun lalu, memang begitulah telatah anak-anak saya. Setiap kali terdengar bunyi siren, walau sedang mandi sekali pun, mereka akan cepat-cepat mengenakan pakaian dan menunggu di tepi jalan untuk melambai kepada baginda.
“Anak-anak cukup seronok apabila baginda berdua bersama polis pengiring melambai kembali kepada mereka. Justeru, apabila pihak istana mengurniakan coklat tersebut, anak-anak memang cukup teruja menerimanya,” katanya kepada Getaran di sini, hari ini.
Pengurniaan coklat tersebut disampaikan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Mohd Sofwan Mohd Khatib yang berkunjung ke rumah keluarga itu bersama juruiring Sultan dan Sultanah, Sabtu lalu.
Noor Wahidah berkata, sebelum ini ada dalam kalangan anaknya turut menyatakan rasa gembira apabila baginda dikatakan pernah menurunkan cermin kereta, semata-mata untuk membalas lambaian mereka.
“Kami sebenarnya baru tinggal di sini sejak setahun lalu. Sebelum ini, kami tinggal di rumah pangsa di Jelutong, Pulau Pinang sebelum berpindah ke sebuah kampung di Perlis.
“Kalau melihat baginda dari jauh pun sudah seronok, inikan pula menerima kurniaan coklat dari baginda. Memang lagi seronoklah mereka malah anak ketiga saya, Nurul Syuhada mendakwa dia bermimpi bertemu baginda berdua selepas menerima kurniaan coklat tersebut,” katanya. – Getaran, 7 April 2021