KUALA LUMPUR - Kelemahan pengurusan kesihatan mental di tempat kerja dibimbangi memberi impak negatif terhadap produktiviti organisasi, selain mendorong tindakan bunuh diri dalam kalangan pekerja.
Kebimbangan itu disuarakan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Menurut beliau, Malaysia merekodkan 1,142 kes bunuh diri pada tahun lalu, sekali gus jelas menunjukkan ia adalah isu serius dan merisaukan.
“Jika tiada tindak balas terhadap perkara (pengurusan kesihatan mental di tempat kerja) ini, majikan akan kehilangan pekerja.
“Bukan sahaja kerana mereka mahu membunuh diri, malah mempengaruhi emosi dan produktiviti seluruh tenaga pekerja,” katanya kepada Getaran.
Beliau berkata, malangnya di Malaysia, jika seseorang ingin membunuh diri, individu terbabit bukan akan diberi sokongan dan penjagaan berkaitan kesihatan mental, sebaliknya dilayan sebagai ‘pesalah’ apabila boleh dikenakan hukuman, termasuk dipenjara atau didenda.
Katanya, hukuman itu tetap dikenakan walau ada inisiatif bagi menyahkriminalisasikan percubaan membunuh diri.
Menurut Syed Hussain, memandangkan usaha itu mungkin mengambil masa bertahun untuk direalisasikan, wujud keperluan mendesak bagi kerajaan melaksanakan kerjasama lebih erat bersama kesatuan pekerja serta pihak majikan dalam menangani isu kesihatan mental di tempat kerja.
Tegasnya, kekurangan kempen atau pendedahan daripada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) terhadap isu kesihatan mental di tempat kerja, menjadi antara faktor kes penyakit itu semakin meningkat.
Lantaran itu, jelasnya, kesihatan mental kurang baik dialami seseorang akan terus ‘berakar’ secara semula jadi dalam diri pekerja, tambahan apabila mereka tidak dilindungi sebaiknya menerusi Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994.
“Isu ini juga menjadi lebih teruk ekoran stigma pekerja dan masyarakat sekeliling bahawa masalah kesihatan mental sering disamakan dengan penyakit gila, malah apabila ia dianggap tabu, individu yang mengalaminya tidak akan mendapatkan bantuan daripada pakar untuk menyelesaikan keadaan dialami.
“Disebabkan itu, sukar untuk pekerja mendapat tahu bahawa mereka menghidap masalah kesihatan mental di tempat kerja, sekali gus menyukarkan bantuan diberikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Hussain menggesa SHO dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan, memperkasa peranannya dalam mengenal pasti dengan lebih teliti masalah di tempat kerja yang berpunca daripada kesihatan mental.
Kedua-dua agensi terbabit, katanya, perlu mengambil tindakan sewajarnya demi meningkatkan tahap kesihatan mental pekerja, di samping membantu majikan dalam mengubah suai struktur kerja dan persekitaran bagi mengurangkan tekanan dialami.
Pihak terbabit juga jelasnya, perlu mengenalpasti cara untuk mengekalkan pekerja di organisasi, berbanding membenarkan mereka berhenti begitu sahaja hanya disebabkan masalah kesihatan mental dialami.
"Majikan harus menggalakkan amalan kesihatan mental yang baik dengan menyediakan alat untuk pengiktirafan dan pengenalan awal, di samping mewujudkan hubungan dengan pusat kesihatan mental bagi mangsa mendapatkan rujukan, rawatan serta pemulihan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, majikan perlu tahu bahawa melindungi nyawa pekerja adalah kewajipan mereka seperti termaktub di bawah Seksyen 15 dan 17 (Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994).
“Isu kesihatan mental terdiri daripada kebimbangan kita semua alami, sebahagiannya dalam kehidupan seharian yang berterusan bagi jangka panjang, sehingga boleh mendorong individu untuk membunuh diri.
“Dalam persekitaran tempat kerja (kurang baik), status kesihatan mental menjejaskan prestasi pekerja, boleh meningkatkan kadar penyakit, menyebabkan ketidakhadiran, kemalangan dan peningkatan pusing ganti kakitangan (tukar jadual atau shif pekerja),” katanya. - Getaran, 19 September 2022