PUTRAJAYA - Peruntukan RM1.062 bilion dalam Bajet 2023 yang melibatkan RM668 juta peruntukan mengurus dan RM393 juta peruntukan pembangunan akan melonjakkan peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) ke arah pengukuhan ekonomi dan daya saing negara, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Peruntukan ini adalah peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 2022 dan ini adalah mesej jelas bahawa peranan STI akan terus diperkasa ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Adham berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga komited untuk mempergiatkan usaha melaksanakan inisiatif yang telah dirancang dengan semangat ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’ dalam usaha memperkasakan peranan STI untuk meningkatkan daya saing dan ekonomi negara.
Katanya MOSTI tidak terhad kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata tetapi termasuk juga pembudayaan STI di peringkat akar umbi.
Beliau berkata Bajet 2023 juga adalah bajet yang responsif dalam memastikan semua rakyat Malaysia mendapat impak dan manfaat yang lebih besar khususnya dalam penciptaan peluang pekerjaan sebagai contoh menerusi pemerkasaan syarikat-syarikat pemula tempatan.
“Jumlah peruntukan yang lebih besar untuk Cradle adalah antara bukti keseriusan kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem pemula niaga negara,” katanya.
Katanya MOSTI komited dalam memastikan inisiatif yang telah dirancang agar negara dapat mencapai kedudukan ekonomi yang kukuh serta manfaat yang dihasratkan terus sampai dan dapat dirasai oleh seluruh Keluarga Malaysia antara lain melalui pelbagai inisiatif antaranya MOSTI diperuntukkan sebanyak RM176 juta untuk pengkomersialan STI selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pengkomersialan hasil R&D tempatan.
Dr Adham berkata sebanyak RM107 juta diperuntukkan kepada MOSTI bagi penyelidikan STI termasuk untuk meneruskan penyelidikan dan pembangunan vaksin negara dan juga RM3 juta kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk melaksanakan Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) bagi menerapkan budaya inovasi dalam setiap lapisan masyarakat.
Bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekosistem pemula niaga negara, beliau berkata RM50 juta disediakan untuk menyokong syarikat pemula niaga yang berpotensi dan Cradle Fund iaitu sebuah agensi di bawah MOSTI akan memberi sokongan yang merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan bakat, inovasi, dasar dan peraturan serta persekitaran pasaran kepada syarikat pemula niaga.
Dr Adham berkata bermula 2023, kerajaan akan melaksanakan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan dalam perolehan kerajaan (MySTI) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta.
Katanya inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap pengkomersialan dan mengiktiraf hasil R&D tempatan yang akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan.
“MOSTI yakin program ini akan dapat meningkatkan akses pasaran termasuk ke peringkat antarabangsa serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan STI pada 2023,” katanya.
Dr Adham berkata program pembudayaan STI akan terus diperkasakan melalui Techlympics dengan peruntukan berjumlah RM7 juta yang akan melahirkan golongan kreatif dan pemikir dalam menjana idea dan solusi bagi cabaran dan permasalahan masa kini dan inisiatif tersebut selaras dengan Dasar Sains Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2030 untuk beralih daripada negara pengguna kepada pembangun teknologi. - Bernama