ALOR SETAR - Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tidak membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di lima daerah yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini daripada beroperasi, nyata mengundang resah dalam kalangan peniaga.
Rata-rata mereka ditemui mengakui tidak memiliki ‘pelan B’ mengenai apa yang harus dilakukan sekiranya larangan itu benar-benar dikuatkuasakan.
Menurut seorang peniaga air di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, Muhammad Asfar Mohd Ishak, 28, dia bimbang sekiranya perniagaan dijalankan tidak mampu memulangkan modal yang dilaburkannya untuk menjalankan perniagaan itu.
“Saya dah 4 tahun berniaga di bazar Ramadan ini dan tahun ini pendapatan sangat-sangat terjejas. Boleh saya katakan pendapatan harian pada kali ini berkurang sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Jika dulu ramai yang datang tetapi apabila kita dah ada SOP kali ini, pelanggan yang datang sangat berkurangan. Mungkin kerana masing-masing malas hendak beratur panjang sementara menanti giliran masuk ke bazar selain mengambil sikap berhati-hati.
“Maka hasil jualan kami pun berkurang. Setakat ini, saya masih belum memperolehi modal berniaga dan sebab itulah saya bimbang jika bazar Ramadan kali ini diarahkan untuk tidak lagi dibuka,” katanya kepada Getaran.
Tambahnya, sehingga hari ini para peniaga di situ masih membuka perniagaan masing-masing kerana masih tidak mendapat arahan penutupan daripada pihak berkuasa tempatan.
“Tetapi kalau esok ada arahan penutupan, mungkin tiada apa dapat kami lakukan selain terpaksa akur,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja di gerai menjual roti john, Ahmad Rusyduddin Abd Gani, 20, turut bimbang pendapatan hariannya terjejas sekiranya bazar Ramadan ditutup.
“Saya cuma bekerja di sini dan mendapat gaji secara harian. Setiap tahun, memang itulah yang saya lakukan apabila tibanya bulan puasa.
“Jika bazar Ramadan ini ditutup, sudah tentu pendapatan saya akan turut ‘tergantung’. Dalam keadaan kita akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, keadaan sebegini agak membimbangkan,” katanya.
Sementara itu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri telah meminta supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat supaya tidak melaksanakan penutupan bazar tersebut secara terlalu drastik dengan membenarkan mereka berniaga hingga 3 Mei depan.
Katanya, langkah itu setidak-tidaknya memberi ruang kepada para peniaga untuk menghabiskan bahan-bahan mentah yang telah dibeli.
“MKN membuat dasar tetapi yang melaksanakannya adalah PBT. Jadi mungkin pihak PBT boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan para penjual terus berniaga pada hari ini, esok dan lusa bagi menghabiskan stok sedia ada,” katanya. - Getaran, 2 Mei 2021