web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Dakwaan OPR Akan Naik Tidak Benar, Kadar Inflasi Masih Rendah

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Apr 2023 11:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Dakwaan segelintir pihak bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalam (OPR) seawal Julai, tidak benar kerana kadar inflasi di Malaysia masih kekal pada 3.70 peratus.

Pakar ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan OPR bukan sahaja ditentukan oleh kadar inflasi tetapi pelbagai faktor, khususnya sudut pola pinjaman sedia ada serta kos sara hidup yang akan diperincikan menerusi harga makanan dan minuman.

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

“Saya tidak melihat OPR akan dinaikkan dalam masa terdekat dan (mesyuarat) Mei nanti pun, BNM akan lihat situasi semasa untuk tempoh sebulan dua akan datang, terutama kadar inflasi yang kekal 3.7 peratus pada Januari dan Februari lalu.

“Kenaikan OPR bergantung kepada kadar inflasi dan setakat ini ia kekal rendah. Masih terlalu awal untuk kita membuat keputusan sama ada ia akan dinaikkan atau sebaliknya,” katanya kepada Getaran.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman menegaskan kaedah OPR adalah mekanisme di bawah sistem ekonomi berasaskan hutang yang sebenarnya adalah dasar tidak mampan walaupun kadar berkenaan merekodkan penurunan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), PBS berkata, kerajaan serta masyarakat perlu meneroka sistem ekonomi tanpa bergantung kepada hutang dan kadar faedah.

“Sebagai contoh, pinjaman perniagaan boleh melalui pendanaan ekuiti awam yang tidak melibatkan bank serta kadar faedah dan kalau kita lihat pembelian kereta ada kaedah melalui pembayaran tanpa perlu meminjam.

“Bagi pinjaman peribadi, boleh gunakan cara instrumen Qardhul Hasan yang diamalkan dalam Islam. Pelbagai kaedah ini menunjukkan sistem itu memang sudah wujud. Jika diperkasakan atau dipromosikan kerajaan, sudah tentu kita tidak akan terkesan dengan kenaikan dan penurunan kadar faedah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmed Razman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang hutang baharu dengan berbelanja mengikut kemampuan diri dan sentiasa menambah sumber pendapatan menerusi peningkatan pengetahuan serta kemahiran.

“Kita ini seolah-olah seperti diperhambakan dengan kenaikan dan penurunan kadar faedah walhal ia adalah perbuatan riba. Ini bermakna selagi kita mengikut ataupun bergantung kepada perkara dilarang oleh Allah, maka kita tidak akan selamat,” katanya.

Terdahulu, portal BH melaporkan beberapa penganalisis ekonomi menjangkakan BNM sekali lagi akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

Menurut laporan itu, jangkaan tersebut dibuat bersandarkan kepada unjuran perkembangan ekonomi dipacu permintaan domestik yang kukuh berikutan pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik.

Ia juga akan mengambil kira kadar inflasi yang dijangka kekal tinggi walaupun mula menyederhana tahun ini.

Bagaimanapun laporan itu mendapat teguran Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menyifatkan ia sebagai fitnah kerana boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Fahmi berkata, apa yang mencetuskan kekeliruan adalah walaupun rencana itu sekadar memetik pendapat seorang penganalisis dan beliau tiada masalah dengan laporan terbabit, ia jauh berbeza dengan maksudnya kerana memberi gambaran seolah-olah BNM atau kerajaan membuat keputusan berkenaan.

“Ini tidak benar dan tidak adil kepada BNM dan kerajaan,” katanya.

BNM dalam Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022, mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus bagi 2023, dipacu permintaan domestik meskipun persekitaran luaran mencabar, sementara kadar inflasi sekitar 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.

Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kenaikan OPR bukan sahaja akan menambah beban peminjam, malah tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi dan harga barang.

Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob
Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob

Jelasnya, setiap kali OPR dinaikkan, pinjaman serta pembiayaan yang berasaskan kadar apungan turut meningkat sehingga menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.

“Saya masih tidak bersetuju sekiranya menaikkan kadar OPR susulan ia akan membebankan peminjam, bermakna pembayaran balik akan bertambah di samping tindakan itu tidak akan menggalakkan orang ramai membuat pinjaman baharu.  

“Pelbagai pihak akan takut untuk membuat pinjaman. Sebagai contoh, orang mesti tidak mahu atau menyekat terlebih dahulu kemahuan untuk membeli rumah selepas ini, yang turut memberi kesan pula kepada syarikat pemaju,” katanya.

Justeru beliau berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan meneliti semula secara terperinci penggunaan kaedah tersebut malah beliau mengharapkan agar tiada lagi kenaikan OPR sehingga hujung tahun ini.

“Kenaikan OPR harus menjadi jalan terakhir digunakan kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang inflasi. Jangan digunakan sewenang-wenangnya apabila harga barang serta inflasi naik, terus hendak naikkan OPR, tidak boleh begitu.

“Kerajaan perlu menggunakan kaedah lain seperti menambah pengeluaran, kawal harganya yang dilihat dapat mengelak daripada OPR dinaikkan. Jangan lagi ambil jalan mudah atau pintas,” katanya.

Pada masa sama, Abu Sofian turut menyarankan kerajaan, khususnya BNM untuk mengenal pasti kaedah terbaik dalam mengawal harga barang serta mengurangkan kadar inflasi.

“Saya berharap kenaikan OPR ditangguhkan sehingga akhir tahun ini. Biarlah ekonomi berkembang dengan sendiri.

“Jadi terdapat keperluan untuk kerajaan melaksanakan kaedah lain kerana harga barang semakin mahal dan pada masa sama tiada kenaikan gaji,” katanya. - Getaran, 1 April 2023

Berita Berkaitan

1

Ekonomi 4 bulan yang lalu

Akaun 3 KWSP: Penyelesai Masalah Atau Senjata Makan Tuan?

2

Semasa 5 bulan yang lalu

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam - PM

3

Semasa 11 bulan yang lalu

Bank Negara Malaysia Kekalkan Opr Pada Kadar 3 Peratus

4

Politik 1 tahun yang lalu

PRN 2023: Pembangkang 'Koyak' Dengan Kejayaan Kerajaan Perpaduan 

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia