JOHOR BAHRU - Sumbangan ikhlas orang ramai sering diharapkan oleh golongan yang tidak berkemampuan termasuk gelandangan.
Namun, jika sesuatu pemberian itu tidak dikawal atau diurus dengan baik, kemungkinan besar tujuan asal ia dihulurkan tidak dapat dicapai, sekali gus tidak memberi manfaat kepada yang sepatutnya.
Contoh boleh dilihat apabila berlaku lambakan makanan hasil sumbangan orang ramai kepada gelandangan di sekitar bandar raya ini.
Menceritakan tentang situasi berkenaan, Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Rosley Abd Wahab berkata, lambakan makanan buat gelandangan sering berlaku kerana ramai pihak yang bebas untuk tampil dengan niat bersedekah.
Melihatkan wujud kepentingan untuk pembaziran seperti itu dibendung, pihaknya mewujudkan Pusat Agihan Makanan Gelandangan Johor Bahru yang terletak di Laman Tun Sri Lanang di sini.
Rosley berkata, ia bermula pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila ditanya mengenai nasib golongan gelandangan sewaktu negara berdepan pelaksanaan peraturan terbabit bagi membendung penularan COVID-19.
“Saya memberi cadangan untuk menyumbangkan makanan dengan cara 70 bungkus makanan bagi mengelakkan golongan berkenaan kelaparan kerana difahamkan tiada kedai akan beroperasi,” katanya kepada Getaran.
Beliau memberitahu, tajaan untuk membeli antara 100 hingga 180 bungkus makanan pada waktu itu diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Usaha berkenaan bagaimanapun jelas Rosley, terhenti apabila golongan gelandangan di pusat bandar terbabit diselamatkan dan dipindahkan ke satu tempat sebelum dilepaskan semula dengan syarat tertentu.
“Pada Oktober 2020 saya kembali menguruskan pemberian makanan ini apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta pihak kami berbuat demikian,” katanya.
Rosley yang juga Naib Pengerusi II BSMM Kluang kemudian hanya menggunakan bonet kereta untuk tujuan pengumpulan makanan sebelum Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan khemah untuknya melakukan tugas sukarelawan itu, susulan pelaksanaan PKP 2.0 oleh kerajaan.
Beliau memberitahu, mereka mula menerima sumbangan makanan oleh NGO dan individu perseorangan sebaik PKP 2.0 mula dilaksanakan.
Katanya, sehingga kini, Pusat Agihan Makanan Gelandangan Johor Bahru masih beroperasi, sekali gus memberi manfaat kepada banyak pihak termasuk gelandangan sendiri dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
"Apabila kita kumpulkan sumbangan makanan di sini, yang pertama ia tidak membahayakan gelandangan kerana mereka akan berkumpul mengambil makanan di satu tempat khusus sahaja, berbanding menerima makanan di kawasan tidak menentu seperti kaki lima atau tepi jalan.
"Kedua, sudah pasti tidak terdapat sisa dan bekas makanan bersepah di merata tempat yang hanya akan mengotorkan bandar Johor Bahru ini dan buat penyumbang juga, pastinya lambakan makanan dapat diatasi kerana ia akan diedarkan mengikut kuantiti yang diperlukan secara terkawal," katanya.
Pada masa sama, Rosley menasihatkan mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan makanan dan minuman agar turut mempunyai rasa tanggungjawab.
Beliau selaku Pengurus Pusat Agihan Makanan Gelandangan Johor Bahru itu berpesan, sumbangan makanan perlu dihantar mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan pembaziran.
"Penyumbang makanan juga, mereka perlu bertanggungjawab atas sumbangan yang dilakukan. Maaf saya terpaksa katakan perkara ini, jangan kerana mahukan publisiti, ia merosakkan imej bandar raya ini," katanya.
Untuk rekod, mereka yang berhak mengambil makanan di pusat agihan itu adalah 177 gelandangan berdaftar di sekitar pusat bandar Johor Bahru, selain lebih 200 golongan digelar ‘pengambil makanan bilik sewa’ atau dalam erti kata lain, penghuni bilik sewa yang kurang berkemampuan.
Selain itu, terdapat juga lebih 300 pengambil makanan yang mempunyai rumah dan hanya mengambil makanan di pusat agihan tersebut untuk dibawa pulang, selain golongan warga emas memerlukan.
Rosley menarik perhatian, pusat agihan itu akan terus ditempatkan di kawasan berkenaan dan makanan yang disumbangkan orang ramai setakat ini cukup untuk menampung keperluan golongan kurang berkemampuan.
"Sekiranya terdapat makanan lebih, kita akan mengedarkannya di kawasan lain seperti di Flat Larkin di sini," katanya. – Getaran, 12 Mei 2021