KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan menstruktur semula subsidi bersasar bagi memastikan bantuan berkenaan dapat dinikmati golongan yang sepatutnya.
Justeru, katanya, kerajaan akan menambah baik penyampaian subsidi bersasar membabitkan elektrik, diesel, petrol dan juga beberapa lagi bantuan sosial.
Beliau berkata, pengagihan itu akan dilaksanakan selaras dengan maklumat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berteraskan data isi rumah 32.7 juta rakyat Malaysia.
"Ini dilakukan demi memastikan pengurusan fiskal yang lebih berhemat dan mengurangkan herotan ekonomi. Jaminan diberikan bahawa rakyat yang kurang bernasib baik kekal menjadi keutamaan kerajaan untuk diselamatkan dan akan terus dibantu.
"Pengagihan subsidi dan bantuan secara bersasar kepada rakyat akan diselaraskan melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berteraskan data isi rumah bagi meningkatkan kecekapan dan pemantauan bantuan kerajaan," katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, penjimatan daripada subsidi yang lebih bersasar akan dapat diagihkan semula bagi tujuan projek pembangunan dan program rakyat.
Langkah itu dilaksanakan susulan keprihatinan kerajaan terhadap sebahagian rakyat yang terbeban akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.
Jelasnya, kerajaan bertekad untuk menambah baik mekanisme penyampaian subsidi bersasar sebagai satu daripada anjakan utama Ekonomi MADANI.
"Kerajaan memikul amanah untuk membela rakyat bawah pemerintahannya, khususnya rakyat yang kurang berkemampuan.
"Justeru, mekanisme subsidi bersasar bertujuan untuk memastikan nasib golongan tersebut terbela dan mendapat limpahan manfaat daripada bantuan yang disalurkan," katanya lagi. - Getaran, 11 September 2023