ALOR SETAR - Sekitar 2016, penduduk di Kampung Tebengau Tepi Laut dekat Kuala Kedah di sini pernah berdepan ‘serangan’ ulat berwarna hitam hingga mendatangkan perasaan tidak selesa.
Bukan hanya nampak 'menggelikan' bagi sesetengah orang, ulat seakan beluncas itu juga didakwa menyebabkan kegatalan sekiranya disentuh,
Masalah itu dikatakan hanya selesai setelah beberapa agensi kerajaan mengambil tindakan.
Kini setelah tujuh tahun berlalu, ulat tersebut muncul kembali dalam jumlah banyak hingga mendatangkan kerisauan terhadap penduduk.
Walaupun jumlahnya tidak sebanyak dulu, namun mereka bimbang jumlahnya meningkat dalam masa singkat kerana pembiakannya dikatakan terlalu cepat.
Menurut seorang penduduk, Zalilah Had, 39, dia mula menyedari kehadiran ulat tersebut pada Selasa lalu apabila terlihat perubahan pada pokok Api-Api, iaitu sejenis pokok bakau yang berada di kawasan berhampiran.
"Pokok Api-Api itu yang sepatutnya menghijau, bertukar warna menjadi coklat, kering dan layu. Apabila kami menghampirinya, terlihat ulat-ulat tersebut dalam jumlah banyak.
"Disebabkan itu kami mula bimbang kerana makin hari, makin banyak pokok yang 'dihinggapi' ulat tersebut.
Kami bimbang kejadian seperti 2016 berulang kerana ketika itu keadaan menjadi sangat tidak selesa.
"Saya sendiri mengusahakan restoran berhampiran pokok bakau ini dan setelah mengesan kehadiran ulat tersebut, kami mengambil keputusan untuk menutup perniagaan. Kami tak mahu nanti ada pelanggan yang datang membuat aduan," katanya kepada Getaran.
Mengimbas kembali situasi pada 2016, bapa saudara Zalilah, Yunus Saad, 59, berkata, dia masih teringat bagaimana kenderaan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan anaknya dihurungi ulat tersebut.
"Masa itu kebanyakan pokok api-api di kawasan bakau sudah mati dan ulat berkenaan berada di mana-mana termasuk dalam rumah.
“Walaupun sekarang jumlahnya masih belum ‘melimpah’ seperti dulu, tetapi jumlahnya cukup banyak hingga rasanya mencecah ribuan ekor.
"Sewaktu jumlahnya banyak dulu, ulat-ulat itu akan sentiasa jatuh ke atas kenderaan yang melalui kawasan ini. Kalau berhenti sekejap pun di bawah pokok, jumlahnya tetap banyak," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Ku Othman Ku Jiwa, 63 memaklumkan, dia dan isteri pernah dimasukkan ke hospital gara-gara terkena ulat tersebut.
"Kalau kena, memang gatal dan apabila digaru, akan timbul kesan seakan kurap. Isteri saya pernah dimasukkan ke wad kerana demam, setelah terkena ulat ini.
"Selepas 2016, ulat ini tidak pernah kelihatan lagi hinggalah sekarang. Saya harap pihak berkaitan akan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan populasinya bertambah," katanya.
Ku Othman berkata, ketika serangan tahun 2016, ulat berkenaan hanya hilang selepas Jabatan Pertanian Negeri Kedah menyembur racun makhluk perosak.
Dia berkata, pada mulanya pokok yang diserang ulat berkenaan ditebang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tetapi ia tetap tidak menyelesaikan masalah.
“Masalah itu hanya selesai setelah Jabatan Pertanian Negeri Kedah menyembur racun.
"Maka kami berharap agar tindakan sama dapat diambil bagi mengatasi masalah tersebut secepat mungkin," katanya. – Getaran, 23 November 2023