IPOH -,Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengesahkan menerima laporan beberapa kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Pengarahnya Yusoff Shariff berkata aduan mengenai kejadian itu diterima kira-kira 10 malam tadi dan lapan kakitangan PERHILITAN telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kakitangan PERHILITAN telah menghalau kesemua gajah dengan menggunakan kaedah tembak dan halau.
"Dianggarkan kira-kira 25 hingga 30 ekor gajah berada di tempat kejadian ketika itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya lima buah kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian kira-kira 9 malam.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. - BERNAMA