KUALA LUMPUR - Kes COVID-19 di Malaysia dijangka terus meningkat dan situasi itu berisiko menjejaskan usaha pemulihan pandemik terbabit dalam tempoh disasarkan.
Kebimbangan tersebut dilahirkan pakar kesihatan dan pakar virologi negara, susulan keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor bermula semalam.
Situasi itu dapat dilihat apabila tidak banyak perubahan ketara dicatatkan pada statistik kes, sepanjang enam minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, bermula 12 Mei lalu.
Ketika itu, jangkitan kes direkodkan pada 4,765 dan sehingga semalam, ia terus melonjak.
Keputusan melaksanakan PKP 3.0 (PKP penuh) bermula 1 Jun lalu dan kemudian beralih kepada PKP Diperketatkan (PKPD) turut tidak berkesan dalam menurunkan kes seperti disasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah Selangor terus menjadi negeri yang merekodkan bilangan tertinggi kes harian.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, keputusan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi di Selangor seharusnya tidak dibuat, berikutan peratusan kes yang masih terlalu tinggi.
"Masa kita benarkan hanya 12 sektor industri pengilangan sahaja menjalankan operasi, kita sudah mengalami sehingga 7,000 kes, jadi jika kita membenarkan lebih banyak sektor beroperasi, maknanya kita kena bersedia dengan nombor yang semakin besar, mungkin melebihi 10,000 jangkitan.
"Dalam PKPD yang sudah dilaksanakan beberapa minggu ini, kita tidak nampak pun penurunan kes ketara, kita mula buat PKPD dengan 7,000 kes, sekarang pun sekitar angka sama juga," katanya kepada Getaran.
Dr Hanafiah bagaimanapun berkata, syarat tambahan yang ketat perlu digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP), sekiranya pembukaan sektor ekonomi perlu dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi lebih buruk, antaranya pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
Kebenaran diberikan kerajaan sehari sebelum beroperasi itu menimbulkan persoalan, mencakupi status kesihatan petugas, termasuk yang membabitkan pergerakan mereka setiap hari.
“Adakah sepanjang tempoh PKP dan PKPD, mereka dikenakan perintah sekatan pergerakan penuh atau apakah majikan mengawal pekerja dengan tidak membiarkan mereka berkeliaran.
“Sememangnya terdapat majikan yang menempatkan pekerja mereka di satu tempat sepanjang masa ketika PKP serta PKPD ini untuk memastikan petugas mematuhi SOP ditetapkan dan bagi majikan seperti ini, pastinya tidak menjadi masalah untuk dibenarkan beroperasi semula,” katanya.
Beliau menarik perhatian, majikan terlibat juga perlu mewajibkan semua pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum kembali bertugas.
"Selepas tujuh hari disaring, asingkan mereka kepada dua kumpulan iaitu positif atau negatif mengikut keputusan diterima.
"Bagi individu negatif perlu ulang semula ujian dan jika tetap negatif, barulah boleh bekerja, manakala bagi pekerja sudah menerima dua dos suntikan COVID-19, pastikan mereka jalani satu ujian saringan dan jika negatif, baru boleh bekerja," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, majikan perlu memastikan kawasan tempat kerja disanitasi sebanyak dua kali dalam tempoh 14 hari sebelum operasi dimulakan, bagi mengelakkan virus itu masih berlegar di dalam premis, seterusnya mendedahkan pekerja kepada risiko dijangkiti.
"Saya juga mencadangkan kerajaan menambah SOP dan sekiranya mana-mana kilang didapati mencatatkan kes melebihi lima atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja, premis itu wajar ditutup dan dicuci, manakala petugas perlu menjalani ujian saringan.
"Ini dipanggil situasi 'win-win' (menang-menang) apabila majikan dan pekerja dibenarkan bertugas serta penularan jangkitan juga boleh dibendung," katanya.
MITI semalam mengumumkan, lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi bermula hari ini di lokaliti yang dikenakan PKPD di Selangor, iaitu sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan, selain syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.
Kebenaran itu diberikan atas alasan peranan sektor terbabit penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk berkaitan rantaian bekalan global, serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan atau minuman di dalam negara.
Sementara itu, Pakar Virologi di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip ketika mengulas perkara sama berpendapat, kata, tindakan diambil MITI tidak kena pada masa, memandangkan kes di negeri berkenaan semakin meningkat dan membimbangkan masyarakat.
Berdasarkan data KKM katanya, sememangnya jelas terbukti kilang adalah pencetus utama peningkatan kes COVID-19 di Selangor.
Justeru, kebenaran diberikan itu, tegasnya, dikhuatiri akan menggalakkan penularan jangkitan COVID-19 di negeri berkenaan, meningkatkan angka kes pandemik terbabit di Malaysia dan menyebabkan krisis kesihatan berkenaan terus berlarutan dalam tempoh lama.
"Dengan keadaan kes COVID-19 sekarang ini, rasanya tindakan membenarkan lebih banyak sektor beroperasi tidak sepatutnya dibuat.
"Kalau buka lebih banyak kilang, peluang lebih ramai dijangkiti virus ini lagi tinggi. Justeru, saya rasa tindakan ini suatu yang tidak wajar untuk keadaan masa sekarang," katanya.
Namun, Yahya berkata, memandangkan kebenaran sudah diberikan, tindakan pencegahan lebih bersepadu dan segera perlu dilaksanakan supaya penularan jangkitan pandemik itu tidak terus meningkat.
"Bila dah benarkan macam ini (benarkan lebih banyak sektor beroperasi), tindakan perlu diambil daripada segi vaksinasi, antaranya majikan kena bawa pekerja mendapatkan imunisasi COVID-19 secepat mungkin sebab mereka ini berisiko tinggi dijangkiti.
"Jika divaksin segera, diharap dapat membantu daripada mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya. – Getaran, 9 Julai 2021